NEW DELHI: Dua persatuan juruterbang utama India menolak dakwaan kesilapan manusia menjadi punca nahas penerbangan Air India AI171, yang meragut 260 nyawa pada 12 Jun lalu.
Mereka menyifatkan tuduhan awal itu sebagai tidak berasas dan bersifat prejudis sebelum siasatan rasmi diselesaikan.
Persatuan Juruterbang Komersial India (ICPA) dan Persatuan Juruterbang India (ALPA India) menegaskan segala spekulasi yang dikaitkan dengan punca nahas, termasuk kemungkinan tindakan disengajakan oleh juruterbang, adalah tidak bertanggungjawab serta tidak sensitif terhadap keluarga mangsa.
Menurut laporan awal yang dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara India (AAIB), suis bahan api enjin pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu didapati dimatikan secara misteri.
Namun, punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti, dan tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa tindakan itu disengajakan oleh mana-mana pihak dalam kokpit.
Rakaman suara kokpit menunjukkan terdapat perbualan berkaitan pemotongan bahan api, namun ia masih belum dapat mengesahkan sama ada tindakan tersebut berlaku secara sengaja atau akibat kesilapan teknikal.
ICPA menyatakan sebarang andaian awal, termasuk dakwaan berkaitan bunuh diri oleh juruterbang, adalah tidak beretika, tidak profesional dan memberi tekanan yang tidak wajar kepada komuniti juruterbang yang sedang bersedih.
ALPA India mengkritik proses siasatan AAIB didakwa kurang telus, dan menggesa wakil juruterbang diberi akses sebagai pemerhati bebas.
































