Masiung menerima cenderamata sambil diperhatikan oleh Juhari (tengah) dan Hiew (kanan).
SANDAKAN: Pemimpin dan jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di peringkat bahagian tidak wajar membuat kesimpulan sendiri sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding secara solo atau bergabung dengan parti nasional pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah berkata, keputusan berkenaan harus diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
“Pertembungan dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) pasti akan berlaku menjelang PRN17. Namun, sama ada GRS bergabung atau bergerak solo, biarlah ia diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya ketika melawat Pejabat Gagasan Rakyat Bahagian Sukau, di sini kelmarin.
Lawatan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting yang juga Timbalan Pengerusi Penyelaras Zon 10, Datuk George Hiew Vun Zin bagi meninjau kesiapsiagaan jentera parti di kawasan berkenaan.
Masiung yang juga Pengerusi Penyelaras Zon 10 berkata, walaupun Gagasan Rakyat mungkin dianggap sebagai ‘underdog’ di Sukau, beliau yakin persiapan rapi mampu mencipta kejutan pada PRN17.
“Saya mengingatkan kepimpinan bahagian agar tidak terlalu bergantung kepada laporan di atas kertas. Pemimpin kanan perlu turun padang dan melihat sendiri realiti di lapangan,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menggesa jentera sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis agar sentiasa bersedia menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang.
“Menjelang PRN17, banyak pengakuan mula kedengaran daripada bekas penyokong pembangkang yang kini mengakui kelebihan Kerajaan GRS, sesuatu yang gagal dilakukan pembangkang semasa mereka berkuasa dahulu,” katanya.
Menurutnya, walaupun naratif “Kerajaan Gagal” terus dimainkan oleh pembangkang, rekod pencapaian Kerajaan GRS membuktikan sebaliknya.
“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, hasil ekonomi negeri meningkat setiap tahun dan kini hampir mencecah RM10 bilion,” katanya.
ADUN Kuamut itu menyifatkan lonjakan kutipan hasil ekonomi itu sebagai pencapaian luar biasa yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana kerajaan terdahulu, termasuk BN dan Warisan.


































