JINAN: Pihak berkuasa bandar Jinan, China mengambil langkah unik untuk mengatasi masalah pencemaran habuk dan bunyi bising akibat kerja-kerja pembinaan apabila memasang kubah angin terbesar di dunia yang meliputi kawasan seluas 20,000 meter persegi.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu sebagai inovasi baharu dalam bidang pembinaan bandar yang lazimnya mencetuskan pencemaran debu dan gangguan bunyi kepada penduduk sekitar namun dengan penggunaan kubah gergasi ini, pihak berkuasa yakin ia dapat melindungi persekitaran daripada kesan negatif projek mega.
Kubah berkenaan yang pertama seumpamanya di China, mempunyai ketinggian 50 meter dan diperbuat daripada bahan lutsinar bagi membolehkan cahaya matahari semula jadi menembusi ruang kerja, sekali gus mengurangkan keperluan pencahayaan buatan pada waktu siang.
Lebih menarik, struktur itu tidak memerlukan tiang atau kerangka sokongan kerana kekal berdiri menggunakan tekanan udara berterusan yang dipam masuk ke dalamnya.
Ini membolehkan kubah tersebut dipasang dan dibongkar dengan cepat serta mudah dipindahkan ke tapak lain sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan di satu lokasi selesai.
Menurut kenyataan pihak berkuasa Jinan, sistem itu turut dilengkapi teknologi penapisan udara dan tekanan negatif bagi memastikan habuk dari kawasan pembinaan tidak tersebar ke kawasan kejiranan berhampiran.
Pada masa sama, ia memastikan udara di dalam kubah kekal bersih dan selamat untuk para pekerja.
Selain mencegah pencemaran debu, kubah tersebut juga bertindak sebagai penahan bunyi bagi mengurangkan gangguan bising daripada jentera berat yang lazim digunakan dalam projek pembinaan berskala besar.
Projek perintis ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan China untuk melaksanakan amalan pembinaan hijau dan lebih lestari di kawasan bandar.
Sekiranya penggunaan kubah kembung ini terbukti berkesan di Jinan, ia bakal diperluaskan ke seluruh negara.
Bagaimanapun, pemerhati industri masih menantikan maklumat lanjut mengenai keadaan sebenar bagi para pekerja yang perlu menjalankan tugas di bawah struktur tersebut dalam tempoh yang panjang.


































