KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini mengecam Parti Warisan yang didakwa terus memainkan sentimen politik terhadap sektor minyak dan gas Sabah, sambil menegaskan bahawa parti itu sudah tersasar jauh daripada realiti cabaran sebenar dan pencapaian yang dicapai di bawah pimpinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ahli Exco Pemuda Gagasan Rakyat, Gordon Horace Chin berkata, kenyataan Datuk Azis Jamman berhubung penglibatan Sabah dalam sektor minyak dan gas jelas menunjukkan ketidaktahuannya terhadap struktur industri, termasuk kontrak perkongsian pengeluaran (PSC), risiko pelaburan huluan serta tanggungjawab besar dalam pengurusan dana awam.
“Azis bersuara lantang, tetapi jelas beliau tidak memahami industri minyak dan gas, struktur PSC, profil risiko pelaburan huluan atau beban tanggungjawab dalam mengurus dana awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Gordon Horace Chin
Beliau turut memberi amaran bahawa kenyataan Azis yang disifatkan sebagai “mengelirukan dan berbahaya” itu boleh menjejaskan kewangan Sabah jika dituruti, malah menggagalkan kemajuan yang telah dibina oleh kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Chin mempertahankan pendekatan strategik yang diambil oleh SMJ Energy, syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, yang memfokus kepada pemerolehan aset pengeluaran yang menguntungkan dan hanya menyertai penerokaan setelah penemuan dibuat.
“Penerokaan minyak dan gas boleh menelan belanja ratusan juta malah berbilion ringgit tanpa jaminan kejayaan. Pendekatan SMJ Energy adalah bertanggungjawab – mengambil bahagian selepas wujud penemuan, bukan membazir dana dengan andaian,” katanya.
Menjawab sindiran Azis bahawa SMJ Energy tidak “terjun” ke sektor huluan, Chin menegaskan bahawa di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas, Sabah sudah pun memiliki kepentingan besar – termasuk 50% dalam PSC Samarang, 10% dalam LNG9 dan 25% dalam SAMUR.
“SMJ Energy bukan konsep – ia adalah entiti bernilai RM5 bilion yang sudah menyumbang dividen RM160 juta kepada kerajaan setakat ini,” katanya lagi.
Chin turut menangkis tuduhan Warisan berhubung penerbitan sukuk RM900 juta bagi pengambilalihan Sabah International Petroleum (SIP), sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai satu lagi cubaan mengelirukan rakyat dan menutup kegagalan mereka sendiri.
“SIP dibebani hutang RM1.7 bilion, yang sebahagian besarnya berlaku ketika Presiden Warisan sendiri menjadi Pengerusi SIP. Tanpa campur tangan kerajaan, Sabah Development Bank (SDB) berisiko gagal membayar obligasi bon dan mencetuskan krisis kewangan,” jelasnya.
Beliau berkata sukuk itu bukan penyelamatan (bailout), sebaliknya satu langkah penyusunan semula yang disiplin dan disokong pasaran, dengan langganan berlebihan sebanyak 3.9 kali, penarafan AAA, dan diiktiraf sebagai Urus Niaga Pembiayaan Terbaik Malaysia 2023 dalam kategori bukan IPO.
“Itu menunjukkan keyakinan pasaran, bukan kontroversi. Penstrukturan ini telah menjimatkan lebih RM60 juta dalam faedah tahunan. SDB kembali stabil dan SMJ Energy semakin kukuh, disokong aliran tunai sebenar serta pengurusan profesional – bukan kronisme atau akaun kreatif seperti dahulu,” katanya.
Tambahnya lagi, Warisan juga pernah cuba menerbitkan sukuk RM10 bilion semasa menjadi kerajaan tetapi gagal kerana tidak mendapat keyakinan pelabur.
“Bezanya mudah – perancangan GRS berjaya, perancangan mereka (Warisan) gagal,” katanya.
Chin turut membidas dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang sebelum ini mendakwa beliau bertanggungjawab menyelesaikan hutang bon kerajaan RM1 bilion pada 2019, sedangkan pembayaran itu dibuat menerusi dana pelunasan (sinking fund) yang telah diwujudkan sejak bon itu diterbitkan pada 2014.
“Jelas Warisan semakin tertekan dengan kejayaan kerajaan sekarang. Tetapi cubaan untuk mengelirukan rakyat dengan separuh kebenaran dan putar belit politik tidak akan mengubah fakta,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Sabah kini mula keluar daripada belenggu pengurusan kewangan yang lemah, hasil pendekatan Kerajaan GRS yang lebih berfokus dan berasaskan penyelesaian.
“Kami, Pemuda Gagasan Rakyat, berdiri teguh di belakang hala tuju yang digariskan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan kepimpinan ekonomi Datuk Seri Masidi Manjun. Pertaruhan terlalu besar untuk Sabah berpatah balik,” kata Chin.
“Cukup-cukuplah dengan retorik kosong. Sudah tiba masanya untuk kita maju ke hadapan – dengan tanggungjawab, keyakinan dan pelan yang jelas untuk masa depan Sabah.”


































