Dr. Dzulkefly Ahmad
PETALING JAYA: Keputusan e-penempatan melibatkan 2,248 pegawai perubatan kontrak Gred UD10 yang ditawarkan lantikan tetap boleh disemak bermula kelmarin, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan perlu mengisi borang Google Form yang disediakan dalam sistem selepas keputusan dikeluarkan.
“Tempoh rayuan dibuka dari 8 Julai, pukul 10 pagi hingga 14 Julai, pukul 5 petang, hanya rayuan yang dikemukakan dengan dokumen lengkap dalam tempoh ditetapkan akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan dan Pertukaran (JKPP),“ katanya.
Pada 1 Julai lalu, pelaksanaan semula sistem e-penempatan bagi pegawai perubatan kontrak telah dibuka semula, sekali gus memberi kelegaan kepada kumpulan doktor yang terlibat selepas empat kali tertangguh sejak Februari.
































