Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2025 yang membenarkan pembubaran sebahagian kawasan hutan simpan negeri seluas kira-kira 16,728.9 hektar bagi tujuan pembangunan sosioekonomi dan penempatan sah rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu melibatkan sepuluh kawasan hutan simpan pelbagai kelas dan bertujuan memberi ruang kepada penempatan semula penduduk, pembinaan infrastruktur seperti ICQS serta pembangunan perkampungan yang wujud sejak sekian lama.
“Sebanyak 40 kampung terlibat di daerah Sipitang, Tenom, Kemabong, Tawau, Kalabakan, Ranau dan Pitas, dengan jumlah penduduk dianggarkan seramai 12,012 orang,” katanya ketika membentang RUU itu.
Nizam menjelaskan antara kawasan yang terlibat ialah Hutan Simpan Sipitang (15,978 hektar), Hutan Simpan Trus Madi (55 hektar), Hutan Simpan Sungai Tiagau (162 hektar) dan Hutan Simpan Sungai Serudong (20 hektar) bagi pembinaan Kompleks ICQS Serudong-Simanggaris.
Beliau berkata, pembubaran ini juga membabitkan tanah-tanah yang telah didiami penduduk sejak sekian lama dan Kerajaan mengambil langkah ini secara bertanggungjawab serta melalui penilaian menyeluruh.
“Pewartaan semula kawasan ini sebagai rizab kampung di bawah Ordinan Tanah akan memberi jaminan dan kepastian kepada penduduk yang telah lama menetap di situ secara tidak rasmi,” katanya.
Katanya lagi, langkah tersebut tidak memberi kesan besar kepada jumlah keseluruhan hutan simpan negeri, memandangkan ia hanya melibatkan pengurangan sekitar 0.47 peratus, iaitu daripada 3.575 juta hektar kepada 3.558 juta hektar.
Nizam turut menegaskan pembubaran ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya disokong dengan justifikasi pembangunan sosioekonomi dan demi kebajikan rakyat, selaras dengan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Menurut beliau, Kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif melalui Jabatan Perhutanan dan Pejabat Hasil Bumi bagi mengenal pasti kawasan kerajaan lain yang setara luasnya untuk diwartakan semula sebagai hutan simpan.
“Ini sejajar dengan komitmen Kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan negeri sebagai kawasan berhutan seperti yang ditetapkan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Nizam berkata, langkah itu turut mematuhi Dasar Hutan Sabah 2018 yang mengkehendaki setiap kawasan hutan simpan yang dibubarkan diganti dengan kawasan dan kualiti hutan yang sama.
Dalam pada itu, Kerajaan juga sedang merancang untuk mewartakan kawasan perlindungan baharu di bawah Seksyen 5A, Enakmen Hutan 1968 yang membolehkan pewartaan khas atas faktor pemuliharaan tanah, hidupan liar, ekologi dan sumber air.
“Apabila proses ini selesai, jumlah kawasan perlindungan sepenuhnya (TPA) di Sabah akan meningkat kepada kira-kira 2.227 juta hektar atau 30.06 peratus daripada keluasan tanah negeri, menjadikan Sabah sebagai negeri dengan TPA terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu akan melonjakkan lagi imej Sabah sebagai negeri yang bertanggungjawab dalam pengurusan alam sekitar dan pemeliharaan biodiversiti.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan terus memastikan sebarang pembubaran hutan simpan dilakukan dengan teliti, berpaksikan keperluan rakyat dan dengan pematuhan kepada dasar perlindungan alam sekitar yang sedia ada.


































