Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Sabah berjaya mencatat jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan sebanyak RM10.9 bilion bagi suku pertama tahun 2025, iaitu tempat ketiga tertinggi di Malaysia, selepas Selangor dan Persekutuan Kuala Lumpur, kata Datuk Phoong Jin Zhe.
Menteri Pembangunan Perindustrian and Keusahawanan itu berkata, angka ini juga melebihi jumlah keseluruhan pelaburan yang dicapai sepanjang tahun 2024.
“Sektor pembuatan muncul sebagai penyumbang tertinggi dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.3 billion. Ertinya, pelaburan sektor pembuatan di Sabah bagi suku pertama 2025 adalah tertinggi di Malaysia.
“Ini mencerminkan pelabur terus yakin melabur di Sabah. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Phoong berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan diyakini oleh pelabur asing mahupun domestik.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan ekonomi global atau tekanan geopolitik, keperluan infrastruktur dan sebagainya, katanya, Kementerian berusaha sedaya upaya untuk memastikan pelabur domestik terus berkembang di Sabah dan pelabur asing terus yakin masuk ke Sabah.
Menurut beliau, Kementerian mengambil langkah-langkah proaktif, bertanggungjawab dan prihatin bagi membantu, menyelaras dan memudah cara pelaburan.
“State Manufacturing Investment Taskforce merupakan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian saya untuk membantu pelabur menyelesaikan pelbagai isu dan keperluan yang dihadapi dan diperlukan oleh pelabur asing atau tempatan.
“Dengan adanya taskforce tersebut, kita sentiasa kerjasama dengan pihak pemegang taruh dan agensi berkepentingan seperti Jabatan Air Negeri Sabah dan Sabah Electricity bagi memastikan perancangan infrastruktur dan keperluan dapat dipenuhi.
“Dengan wujudnya kerjasama ini, kita letakkan keyakinan kepada pihak berkuasa iaitu Kementerian Kerja Raya untuk menjalankan perancangan dan pembangunan infrastruktur berkaitan.
“Prinsipnya adalah, kerjasama untuk merancang dengan teratur. Sebarang pelaburan adalah tidak merugikan pengguna domestic,” ujarnya.
Satu contoh lagi tambahnya, dengan kerjasama dengan MCMC, kemudahan telekomunikasi dan internet telah ditingkatkan tahun lepas. Ia telah memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelabur seperti SK Nexilis.
Selain itu, taman-taman perindustrian seperti KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, terus diberikan peruntukkan untuk meningkatkan ketersediaan infrastruktur asas dan utiliti seperti pembinaan pencawang pembahagi utama 33KV/11KV bagi SOGIP yang diperuntukkan RM40 juta sedang giat dijalankan.
Kerajaan Negeri juga melalui Jetama Sdn. Bhd. melaksanakan inisiatif penyediaan air bersih atau Industrial Water khusus untuk kegunaan industri. Untuk makluman buat masa ini, inisiatif ini sedang giat dilaksanakan di Taman Perindustrian POIC Lahad Datu yang melibatkan penggunaan teknologi kaedah penyahgaraman air laut untuk menghasilkan air bersih bagi kegunaan kilang atau industri.
“Dengan inisiatif-inisiatif ini, Kementerian terus membantu, menyelaras dan memudah cara pelabur-pelabur domestik dan asing menjalankan pelaburan di Sabah.
“Prestasi pelaburan Sabah bagi suku pertama 2025 yang memberangsangkan telah membuktikan bahawa Sabah terus diyakini oleh pelabur dan terus menjadi satu destinasi pelaburan di rantau ini.


































