Donald Trump
WASHINGTON: Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) yang diketuai oleh Republikan meluluskan rang undang-undang dasar perbelanjaan dan cukai besar Presiden Donald Trump pada hari Selasa dengan margin paling tipis, walaupun terdapat kebimbangan terhadap pemotongan besar dalam kebajikan dan tambahan hutang negara sebanyak AS$3 trilion (RM12.6 trilion).
Menurut Utusan Malaysia, pemimpin Republikan bergelut untuk mendapatkan sokongan semasa sesi pindaan “vote-a-rama” selama 24 jam apabila Demokrat mengemukakan berpuluh-puluh tentangan terhadap aspek paling kontroversi dalam pakej tersebut.
Namun, Ketua Majoriti Senat, John Thune berjaya meyakinkan golongan moderat yang ragu-ragu untuk mencapai undian 50-50, dengan Naib Presiden JD Vance memecahkan kebuntuan.
Teks rang undang-undang yang luas itu kini menuju ke Dewan Perwakilan, dengan ia berdepan tentangan padu daripada Demokrat dan beberapa Republikan yang menolak kos yang membebankan bajet, serta pemotongan dalam program penjagaan kesihatan dan bantuan makanan untuk rakyat Amerika miskin.
Rang undang-undang Trump mencadangkan lanjutan pemotongan cukai penggal pertamanya bernilai AS$4.5 trilion (RM18.9 trilion), yang ditampung secara kontroversi dengan penjimatan AS$1.2 trilion (RM5 trilion) yang sebahagian besarnya disasarkan kepada program insurans kesihatan Medicaid, serta bantuan makanan persekutuan.
Pemotongan dalam penjagaan kesihatan itu berkemungkinan menyebabkan dianggarkan 12 juta rakyat AS yang berpendapatan rendah dan orang kurang upaya kehilangan perlindungan.
Pakej itu juga menarik balik berbilion dolar dalam kredit cukai tenaga hijau, sambil menyediakan suntikan dana sebanyak AS$350 bilion (RM1.5 trilion) untuk keselamatan sempadan dan program pengusiran besar-besaran migran oleh Trump.
Trump dengan jelas menyatakan matlamatnya ntuk meluluskan rang undang-undang ini di Dewan dalam beberapa hari akan datang dan menandatanganinya menjadi undang-undang menjelang cuti Hari Kemerdekaan pada 4 Julai, hari Jumaat ini.
“Ia akan diluluskan, ia akan berjaya, dan kita semua akan sangat gembira,” kata Trump kepada wartawan sebelum undian dijalankan.


































