Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Kenyataan terbaru yang disiarkan oleh sebuah portal berita dalam talian berhubung dakwaan penglibatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam isu lesen carigali mineral disifatkan sebagai plot dramatik yang sengaja direka untuk mengaburi mata rakyat Sabah dan menjatuhkan reputasi Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Aktivis masyarakat dan pemerhati politik tempatan, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan laporan tersebut sebagai satu usaha terancang yang disusun secara licik melalui seorang ahli perniagaan yang tidak berintegriti dan mempunyai rekod lampau sebagai pesalah jenayah.
“Saya hairan bagaimana portal berita yang kononnya media profesional boleh menjadikan seorang seperti bekas pesalah jenayah berkaitan pekerja asing sebagai sumber utama dalam laporan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aksyah, lebih membimbangkan ialah bagaimana ramai dalam kalangan rakyat mempercayai dakwaan yang datang daripada seorang individu yang menurutnya jelas mempunyai sejarah menipu dan memperdaya sistem.
“Sesiapa yang percaya dengan tipu daya ahli perniagaan terbabit samalah seperti dirinya – penipu, tertipu dan dangkal nuraninya,” katanya sambil menyindir dengan kata-kata popular Allahyarham Tan Sri P. Ramlee: “Yang kamu percaya dia tu kenapa? Sudahlah muka pun penipu, dengan kamu sekali kena tipu!”
Beliau mendakwa segala yang berlaku berpunca daripada rasa tidak puas hati ahli perniagaan terbabit kerana gagal mendapatkan kelulusan lesen melombong mineral di Sabah, lalu bertindak menyerang secara peribadi terhadap pemimpin Kerajaan Negeri menerusi pendedahan bermotif politik.
“Ini bukan soal integriti. Ini soal dendam kerana tidak dapat lesen. Dan kini dia gunakan naratif kononnya berlaku rasuah. Hakikatnya, semua ini sudah lama dirancang untuk menjatuhkan Hajiji dan GRS,” katanya.
Aksyah percaya ada dalang politik di sebalik gerakan tersebut yang menjadikan ahli perniagaan terbabit sebagai watak utama untuk melaksanakan ‘pembunuhan karakter’ terhadap pemimpin GRS.
“Saya yakin plot ini disusun oleh pihak tertentu yang sememangnya berhasrat menamatkan kepimpinan Hajiji. Ahli perniagaan terbabit hanyalah alat yang digunakan dalam skrip yang ditulis oleh musuh politik GRS,” katanya.
Beliau turut mengkritik pemimpin pembangkang, yang menurutnya menjadikan berita portal tersebut sebagai pentas untuk menonjolkan diri dengan menyelar pemimpin Kerajaan Negeri sedangkan mereka sendiri tidak bebas daripada dakwaan yang sama.
“Sangat ironi apabila pemimpin pembangkang cuba menjadi hero menentang rasuah, padahal pemimpin mereka juga pernah terpalit isu serupa. Satu-satunya pemimpin parti yang tidak terkait sebarang salah laku hanyalah Hajiji,” katanya.
Aksyah menegaskan bahawa rakyat perlu melihat keseluruhan gerakan ini sebagai satu muslihat terancang yang menggunakan sentimen kebencian untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri.
“Ini bukan pendedahan tulen, tetapi gerakan sulit yang mahu mencipta persepsi buruk terhadap Kerajaan GRS. Ia taktik lama yang pernah berlaku sebelum ini – wujudkan persepsi, timbulkan kemarahan dan buka ruang untuk rampasan kuasa,” katanya.
Menyentuh soal dana politik yang didakwa disalurkan kepada beberapa ADUN ketika proses permohonan lesen dikemukakan kepada Sabah Mineral Management (SMM), Aksyah menjelaskan bahawa ia tidak menyalahi undang-undang sekiranya tiada unsur timbal balik.
“Kes mahkamah membabitkan Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi bukti jelas bahawa sumbangan dana politik bukan satu kesalahan sekiranya tiada imbuhan atau balasan rasmi. ADUN-ADUN terbabit pula langsung tiada kuasa dalam SMM, jadi apa logiknya mereka disogok?” soalnya.
“Apa yang dilakukan ahli perniagaan terbabit adalah menukar istilah ‘dana’ kepada ‘rasuah’ selepas gagal mencapai kepentingannya. Malah tindakannya memberi sumbangan kepada pihak yang tidak boleh mempengaruhi keputusan adalah tindakan yang bodoh – ibarat memancing ikan di lubang jamban,” katanya sinis.
Justeru, Aksyah menyeru rakyat Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan gerakan yang berpaksikan fitnah dan sentimen, sebaliknya terus mempertahankan kestabilan pentadbiran Kerajaan GRS di bawah kepimpinan Hajiji.
“Perjuangan untuk menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya masih panjang. Jangan kita ulang kesilapan lalu dengan membiarkan negeri ini dijajah semula oleh kuasa luar yang rakus.
“Harga yang kita bayar akan sangat besar sekiranya kita tertipu dengan skandal ciptaan politik kotor ini. Hanya rakyat Sabah yang mampu menolak pengkhianatan ini. Percayalah!” tegasnya.


































