Donald Trump
WASHINGTON: Perbahasan mengenai rang undang-undang perbelanjaan mega oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bermula secara rasmi di Dewan Senat semalam, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ahli politik kedua-dua parti.
Menurut Utusan Malaysia, rang undang-undang berimpak tinggi itu bakal menelan belanja sebanyak AS$4.5 trilion (RM 19 bilion), merangkumi lanjutan potongan cukai era pentadbiran pertama Trump dan penambahan ketara terhadap perbelanjaan kawalan sempadan.
Namun, rancangan berkenaan dijangka memberi kesan besar kepada jutaan rakyat AS yang bergantung kepada bantuan kebajikan, terutamanya dalam aspek penjagaan kesihatan, selain meningkatkan hutang negara melebihi AS$3 trilion (RM 12.6 bilion).
Perbahasan yang sepatutnya dimulakan lebih awal ditangguhkan susulan bantahan daripada beberapa senator Republikan sendiri, yang kemudiannya hanya diluluskan dengan majoriti tipis 51-49 lewat malam Sabtu (waktu tempatan).
Dua senator Republikan menolak usul tersebut bersama 47 senator dari Demokrat, walaupun tekanan hebat diterima daripada Trump agar rang undang-undang itu diluluskan sebelum 4 Julai pada sambutan Hari Kemerdekaan AS.
Dalam usaha melambatkan perbahasan, Demokrat memaksa seluruh rang undang-undang setebal hampir 1,000 muka surat itu dibacakan satu persatu di dewan, yang dijangka mengambil masa lebih 15 jam.
Antara kandungan paling kontroversi dalam rang undang-undang tersebut ialah pemotongan besar terhadap program insurans kesihatan untuk rakyat berpendapatan rendah (Medicaid), yang dijangka menjejaskan lebih 8.6 juta rakyat dan ratusan hospital luar bandar.
Trump dan sekutunya berusaha menampung kos potongan cukai melalui pemotongan tajaan kebajikan dan insentif tenaga boleh diperbaharui yang diperkenalkan semasa pentadbiran terdahulu.
Langkah tersebut turut menerima kritikan keras daripada tokoh perniagaan terkenal, Elon Musk yang sebelum ini mempunyai hubungan rapat dengan Trump tetapi kini terbuka menyatakan penentangan terhadap dasar baharu itu.
Tinjauan pendapat terkini menunjukkan rang undang-undang itu tidak popular dalam kalangan pelbagai kumpulan demografi, usia dan pendapatan.
Walaupun Dewan Perwakilan sudah pun meluluskan versi tersendiri, kedua-dua dewan perlu bersetuju terhadap teks akhir yang sama sebelum ia boleh ditandatangani menjadi undang-undang.


































