Keadaan Vishwash yang mengalami kecederaan ringan akibat nahas tersebut.
AHMEDABAD: Ketika dunia masih terkejut dengan tragedi pesawat Air India yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel, muncul rakaman video dalam media sosial memaparkan seorang lelaki berjalan keluar dari kawasan nahas dengan berlumuran darah.
Menurut Utusan Malaysia, susulan itu, Air India mengesahkan seorang penumpang terselamat dalam insiden yang mengorbankan 241 orang daripada keseluruhan 242 penumpang dan anak kapal dalam pesawat tersebut.
Mangsa yang terselamat dikenal pasti sebagai Vishwash Kumar Ramesh, warga Britain berketurunan India, seperti dilaporkan akhbar Hindustan Times.
“Saya dengar bunyi kuat selepas 30 saat pesawat berlepas, dan kemudian ia terus terhempas. Semuanya berlaku terlalu pantas,” kata Ramesh dalam satu temu bual di hospital tempat dia menerima rawatan.
Kata Ramesh, dia dalam perjalanan pulang ke United Kingdom selepas menziarahi keluarganya di India dan dia turut ditemani abangnya yang duduk di barisan berbeza namun malangnya, dia tidak mengetahui nasib abangnya ketika itu.
Menurut laporan, tempat duduk Ramesh dalam pesawat ialah 11A, yang terletak di barisan pintu kecemasan berhampiran sayap kiri pesawat dan gambar pas penerbangannya turut dikongsikan oleh media tempatan, namun belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, sepupu mangsa, Ajay Valgi di Leicester memberitahu keluarga mereka sudah dihubungi oleh Ramesh yang memaklumkan keadaannya baik dan stabil, meskipun mereka masih terkejut serta sedih dengan kehilangan ahli keluarga lain serta ratusan mangsa lain.
Nahas tersebut bukan sahaja mengorbankan nyawa penumpang, malah turut mengakibatkan kematian dan kecederaan kepada penghuni asrama pelajar perubatan di Kolej Perubatan dan Hospital BJ yang menjadi lokasi pesawat terhempas.
Menurut seorang pegawai perubatan kanan di Hospital Awam Ahmedabad, jumlah korban dijangka meningkat berikutan masih ramai mangsa yang cedera parah.
Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu dijadualkan menuju ke Lapangan Terbang Gatwick, London dan membawa penumpang dari pelbagai negara termasuk India, Britain, Kanada dan Portugal.


































