BANGKOK: Satu hantaran tular di Facebook menunjukkan tangan seorang lelaki dipenuhi lepuh menyakitkan seperti bernanah, menimbulkan kebimbangan ramai di Thailand.
Namun, pemeriksaan lanjut mendedahkan lelaki terbabit sebenarnya dijangkiti larva cacing kulit atau dikenali Cutaneous Larva Migrans (CLM).
Menurut Utusan Malaysia, keadaan luar biasa itu, sering dirujuk sebagai ‘cacing kulit’, disebabkan oleh larva cacing cangkuk yang biasanya berasal daripada haiwan seperti anjing dan kucing, terutama apabila bersentuhan dengan tanah atau pasir tercemas najis haiwan.
Pakar dari Pusat Penyelidikan Penyakit Parasit di Universiti Teknologi Suranaree, Profesor Dr Natthakaphat Rattanapitoon menjelaskan, CLM berlaku apabila larva cacing cangkuk seperti Ancylostoma braziliense dan Ancylostoma caninum memasuki tubuh manusia melalui kulit.
Larva itu menetas di dalam tanah atau pasir yang tercemar dan mampu menembusi kulit manusia, menyebabkan ruam lepuh yang menjadi ciri utama jangkitan tersebut.
Pengguna Facebook yang memuat naik gambar tangannya itu berkongsi bahawa beliau menghabiskan hari mencabut rumput liar.
Pada waktu malam, beliau mengalami kegatalan teruk dan mendapati lepuh pada kulit apabila keesokannya.
Walaupun lepuh itu tidak mengancam nyawa, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan yang melampau.
Larva tersebut lazimnya bergerak antara beberapa milimeter sehingga dua sentimeter sehari sambil mencetuskan rasa gatal yang menganggu.
Dr Natthakaphat menjelaskan, penyakit itu secara umumnya tidak membawa maut dan akan sembuh dengan sendiri dalam tempoh dua hingga lapan minggu.
Jangkitan itu lebih kerap berlaku di kawasan tropika seperti Thailand, khususnya dalam kalangan kanak-kanak atau individu yang sering bekerja di atas tanah.
“Jika anda perasan sebarang gejala luar biasa atau mengesyaki jangkitan CLM, penting untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat,” katanya.


































