Saintis percaya Antartika sebelum ini pernah menjadi kawasan subur menghijau.
LONDON: Sekumpulan saintis menemukan satu landskap purba yang belum disentuh selama lebih 34 juta tahun, terkubur di bawah lapisan ais setebal lebih 1,609 meter di wilayah Antartika Timur.
Menurut Utusan Malaysia, penemuan itu berlaku di Wilkes Land, satu kawasan terpencil yang terletak jauh di pedalaman Antartika dan berkeluasan hampir menyamai negara Belgium.
Menerusi penggunaan data satelit dan radar penembus ais, para penyelidik mengenal pasti sebuah dunia silam yang menyimpan ciri-ciri sungai, hutan dan bahkan mungkin pokok palma.
Pengesahan kewujudan tumbuhan tropika itu turut diperkuatkan dengan penemuan debunga pokok palma di kawasan pantai berhampiran, sekali gus membuktikan Antartika suatu ketika dahulu pernah menjadi bumi yang subur dan hijau.
Landskap purba itu dianggarkan meliputi kawasan seluas 31,079 kilometer persegi, bersamaan saiz negeri Maryland di Amerika Syarikat.
“Ia seperti menemui kapsul masa,” kata Profesor Stewart Jamieson dari Universiti Durham, ketua penyelidik dalam kajian tersebut.
Menurut beliau, perubahan geografi bumi berjuta-juta tahun dahulu telah menyebabkan Antartika perlahan-lahan berganjak ke arah Kutub Selatan dan pergerakan ini mencetuskan arus laut yang kuat mengelilingi benua tersebut, sekali gus mengasingkannya daripada air laut yang lebih panas.
Kajian tersebut turut mendedahkan tiga blok tanah tinggi yang besar, masing-masing sepanjang antara 120 hingga 169 kilometer (km) dan selebar 85km serta ketiga-tiganya dipisahkan oleh lembah sedalam hampir 1,188 meter dan selebar 25 batu.
Berbeza dengan glasier biasa yang menghakis permukaan tanah, pergerakan ais di kawasan ini amat perlahan kurang daripada 26km setahun disebabkan oleh suhu ekstrem yang menyebabkan ais membeku terus ke permukaan bumi dan keadaan ini dikenali sebagai “ais berasaskan sejuk” serta menjadikan landskap yang terkubur itu kekal hampir sempurna.
Profesor Neil Ross dari Universiti Newcastle yang juga merupakan penyelidik bersama berkata, penemuan ini membantu memahami sejarah awal lapisan ais dan potensi perubahan yang bakal berlaku akibat perubahan iklim masa depan.
Kajian menggunakan model komputer turut mendapati sebahagian kawasan telah terangkat setinggi 487 meter akibat tekanan berat ais dari atas.


































