WASHINGTON: Beberapa syarikat penerbangan utama dunia menggantung penerbangan melibatkan destinasi di Asia Barat susulan serangan Israel ke atas Iran pada Jumaat.
Menurut Utusan Malaysia, Qatar Airways dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya membatalkan sementara penerbangan ke Iran dan Iraq berikutan situasi semasa di rantau tersebut.
Tiga lapangan terbang utama di Iran, termasuk di ibu negara Teheran serta lima lapangan terbang di Iraq, termasuk Baghdad turut terjejas akibat keputusan ini.
Emirates, antara syarikat penerbangan utama Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan semua penerbangan ke arah dan dari Iraq, Jordan, Lubnan serta Iran pada hari Jumaat dan Sabtu sudah pun dibatalkan.
Syarikat penerbangan nasional India, Air India dalam satu kenyataan di platform X berkata, lebih 12 penerbangannya dialihkan atau berpatah balik ke destinasi asal disebabkan situasi yang sedang berlaku di Iran, penutupan ruang udaranya dan demi keselamatan penumpang.
Antara penerbangan yang terjejas termasuk laluan dari New York, London, Vancouver dan Washington.
Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa pula menggantung semua penerbangan ke Teheran sehingga diberitahu kelak, dan juruterbangnya akan mengelak daripada terbang melalui ruang udara Iran, Iraq dan Israel buat masa ini, lapor Reuters.


































