MOSCOW: Seorang wanita berusia 30 tahun bertarung nyawa selepas disambar petir dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah pantai sekitar Tasik Mamonovsky berhampiran ibu negara Russia, Moscow.
Menurut Utusan Malaysia, media tempatan melaporkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama kira-kira 10 rakannya yang merupakan kakitangan sebuah salon kecantikan berkelah dan memanggang BBQ dalam sebuah gazebo kayu.
Suasana santai itu bertukar cemas apabila ribut petir melanda secara tiba-tiba menyebabkan kumpulan tersebut bertempiaran lari ke arah tasik, tindakan yang berisiko dan bertentangan dengan langkah keselamatan ketika cuaca buruk.
Menurut pengawal keselamatan di lokasi, mereka mengarahkan kumpulan itu keluar dari tasik serta mengosongkan kawasan berkenaan namun, ketika berlari keluar dari air, seorang daripada mereka disambar petir.
Sumber rasmi melaporkan petir itu menyambar lengan wanita tersebut, menembusi dadanya dan keluar melalui bahagian lain tubuh sebelum menyebabkan letupan kecil di atas meja yang berada berhampiran.
Letupan itu turut mengakibatkan makanan dan minuman bertaburan, malah dentuman kuat tersebut dipercayai menyebabkan beberapa rakan mangsa mengalami masalah pendengaran sementara.
Mangsa dilaporkan mengalami trauma teruk serta melecur pada bahagian lengan dan dada.
Bagaimanapun, kehadiran sekumpulan doktor yang kebetulan turut berkelah di kawasan berhampiran menyelamatkan keadaan dan segera memberi rawatan awal, membalut mangsa dengan selimut sementara menunggu ketibaan ambulans.
Wanita itu kemudiannya dibawa ke sebuah rumah berhampiran untuk menunggu bantuan lanjut, sebelum dihantar ke hospital dan kini sedang menerima rawatan rapi selepas keadaannya distabilkan.
































