LONDON: Penduduk Britain diminta berwaspada terhadap ancaman spesis semut penceroboh yang sedang ‘mengganas’ di Eropah dan dibimbangi akan menyeberang ke wilayah ini dalam masa terdekat.
Menurut Utusan Malaysia, spesies berkenaan, dikenali sebagai Tapinoma magnum (T.magnum) berasal dari kawasan Mediterranean termasuk Algeria, Maghribi, Tunisia, Sepanyol dan Itali, tetapi kini dilaporkan merebak ke utara Eropah seperti Perancis, Belgium, Jerman, Switzerland dan Belanda.
The Sun melaporkan, semut ini bukan sahaja menggali terowong di bawah jalan raya, malah mampu menggigit kabel elektrik sehingga menyebabkan gangguan bekalan kuasa dan sambungan internet serta kerosakan bernilai ribuan pound sterling.
Lebih mengejutkan, apabila seekor T. magnum dipijak, ia mengeluarkan bau busuk seakan-akan mentega tengik dan sehingga setakat ini, tiada kes yang disahkan di United Kingdom, namun menurut Niall Gallagher dari Persatuan Kawalan Makhluk Perosak Britain (BPCA), risiko tetap ada.
“Mereka membentuk ‘superkoloni’ yang besar, menyingkirkan spesies tempatan dan boleh menyebabkan kerosakan struktur dengan menggali tanah di bawah permukaan berturap,” ujarnya.
Pakar memberi amaran T. magnum mampu membentuk ‘superkoloni’ yang mencecah sehingga 20 juta ekor dalam kawasan seluas 60 ekar dan apa yang membimbangkan, apabila dua koloni bertemu, mereka tidak bermusuh sebaliknya bergabung menjadi satu koloni besar dengan ratu yang banyak.
Semut ini dipercayai tersebar ke utara melalui import pokok dan tumbuhan pasu dari negara Mediterranean, serta menunjukkan tahap daya tahan luar biasa terhadap cuaca sejuk seperti musim sejuk Jerman.
Mereka mudah menyesuaikan diri di kawasan bandar, terutama di laman rumah, taman, kaki lima dan pusat jualan tanaman hiasan namun, menurut BPCA, T. magnum dapat dibezakan melalui tabiat pergerakannya yang tersusun dalam barisan panjang di atas permukaan berturap atau dinding bangunan, satu tingkah laku yang jarang berlaku dalam koloni semut tempatan.
Sekiranya spesies ini berjaya bertapak di UK, usaha kawalan menggunakan racun umpan seperti indoxacarb atau imidacloprid serta semburan permukaan seperti di Zurich perlu digembleng.
Selain faktor import tumbuhan, perubahan iklim turut dilihat sebagai pemangkin kepada penyebaran spesies ini di mana musim sejuk yang semakin hangat dan musim panas lebih panjang memberi kelebihan kepada T. magnum untuk terus hidup dan membiak lebih jauh ke utara.


































