NEWDELHI: Seorang wanita yang hilang selepas suaminya ditemui dibunuh dengan kejam semasa mereka berbulan madu kini berada dalam tahanan setelah menyerah diri, menurut pihak polis di India.
Menurut Utusan Malaysia, keluarga pasangan tersebut sebelum ini mendakwa pengantin wanita itu juga mungkin dibunuh atau diculik dan melancarkan kempen besar-besaran untuk mencarinya.
Namun siasatan awal polis mendapati Sonam Raghuvanshi, 25, mengupah pembunuh upahan untuk membunuh suaminya, Raja yang berusia 30 tahun semasa mereka berada di negeri kecil di timur laut, Meghalaya.
Empat lelaki yang terlibat dalam kes tersebut turut ditahan.
Bapa Sonam, Devi Singh mempertahankan anaknya menegaskan, wanita itu tidak bersalah dan tidak boleh melakukan pembunuhan tersebut.
Pasangan pengantin baharu dari Indore di negeri Madhya Pradesh itu memilih Meghalaya untuk berbulan madu kerana mendengar tempat itu memiliki lembah yang sangat cantik, menurut abang mangsa, Sachin Raghuvanshi kepada BBC.
Pasangan itu berkahwin pada 11 Mei lalu di Indore dalam satu upacara yang diberkati oleh kedua-dua keluarga mereka.
“Perkahwinan mereka diatur empat bulan lalu dan mereka berdua gembira, tiada pertengkaran antara mereka sebelum atau selepas perkahwinan,” kata seorang lagi abang Raja, Vipin Raghuvanshi.
Pasangan itu berangkat ke Meghalaya pada 20 Mei namun selepas empat hari, mereka dilaporkan hilang.
Pasukan penyelamat dan pasukan bantuan bencana bersama penduduk tempatan dikerah mencari pasangan tersebut sejak bulan lalu.
Rakaman video dari kawasan itu menunjukkan penyelamat menuruni bukit dan tebing di lembah yang diselubungi kabus hingga menyukarkan operasi pencarian.
Seminggu kemudian, mayat Raja yang sudah mereput ditemui di sebuah gaung dengan tekaknya dikelar dan dompet, cincin emas serta rantai miliknya hilang manakala Sonam pula gagal dikesan.
Keluarga mereka melancarkan kempen besar-besaran dan mendakwa polis Meghalaya tidak melakukan cukup usaha untuk menyelesaikan kes pembunuhan Raja atau mencari Sonam, satu tuduhan yang dinafikan oleh Ketua Menteri negeri itu.
Keluarga pasangan tersebut menuntut agar kes ini diserahkan kepada polis persekutuan untuk siasatan yang lebih teliti malah bertemu dengan pemimpin kasta berpengaruh serta menteri persekutuan di negeri asal mereka untuk melobi perkara ini.


































