SÃO LUÍS: Seorang banduan di Brazil menerima padah apabila cubaan melarikan diri dari penjara dengan menyamar sebagai wanita gagal selepas dikesan petugas penjara.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian yang berlaku di Kompleks Penjara São Luís itu, lelaki berkenaan didapati memakai gaun dan rambut palsu dalam usaha menyamar sebagai pelawat, dipercayai dengan bantuan individu luar yang dipercayai orang terdekatnya semasa lawatan penjara.
Menurut kenyataan oleh Sekretariat Pentadbiran Penjara Negeri, kedua-dua individu, banduan terbabit dan pelawat yang dipercayai membantunya kini ditahan bagi siasatan lanjut.
Cubaan tersebut bukan satu-satunya insiden melibatkan banduan yang mencetuskan kegemparan di Brazil kebelakangan ini.
Pada hujung Mei lalu, dua banduan cuba melarikan diri dari sebuah balai polis di Manaus dengan menggunakan taktik licik dan ganas.
Seorang daripada suspek berpura-pura mengalami penggunaan dadah berlebihan hingga rebah, menyebabkan pegawai yang bertugas panik.
Ketika kekecohan berlaku, dua lagi banduan menyerang seorang pegawai wanita, cuba menolaknya ke dalam sebuah bilik kecil dan merampas senjatanya.
Bagaimanapun, tindakan pantas seorang pegawai polis, Ado Evangelista, yang memasuki kawasan penerimaan balai dengan senjata terhunus berjaya menggagalkan cubaan tersebut.
Seorang banduan cuba menyerangnya namun ditembak, manakala pegawai wanita turut melepaskan tembakan terhadap seorang lagi suspek dalam ruang sempit berkenaan.
Seorang daripada penjenayah terbabit kemudian meninggal dunia di hospital akibat kecederaan.
Pemeriksaan lanjut selepas kejadian turut menemui dua senjata tajam buatan sendiri yang dipercayai disorok oleh suspek di dalam balai tersebut.


































