DUBLIN: Sepuluh ekor anak lembu mati akibat dipanah petir di Republik Ireland dalam satu kejadian mengejutkan pada petang Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, lembu-lembu betina berusia satu tahun itu ditemui mati di sebuah ladang di Butlersbridge, daerah County Cavan.
Menurut laporan BBC, haiwan-haiwan tersebut dipercayai sedang berteduh di bawah sebatang pokok ketika hujan lebat dan ribut petir melanda kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen tempatan daripada parti Fianna Fáil, Brendan Smith menyifatkan insiden itu sebagai kejadian luar biasa dan jarang berlaku.
“Saya sangat terkejut apabila mendapat tahu 10 ekor lembu telah mati. Ia pasti satu pengalaman yang amat menyedihkan bagi petani yang menjumpai haiwan ternakannya dalam keadaan begitu,” katanya.
Smith turut menyampaikan rasa simpati beliau kepada petani terlibat.
“Sudah tentu ia adalah kerugian kewangan yang besar, tetapi bagi sebuah ladang keluarga yang beroperasi tujuh hari seminggu, ia juga satu kehilangan yang memberi kesan emosi.
“Setiap kali ribut atau cuaca buruk melanda, para petani sentiasa berada di ladang menjaga haiwan mereka.
“Saya dibesarkan di ladang dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertanian, jadi saya tahu betapa bangganya petani dalam memelihara dan menjaga lembu mereka di seluruh Ireland,” katanya.


































