HONG KONG: Saham Asia mencatat kenaikan semalam ketika rundingan perdagangan China-AS di London memasuki hari kedua, dengan Presiden, Donald Trump menjangkakan hasil yang baik dan kukuh.
Menurut Utusan Malaysia, Tokyo mengetuai kenaikan pasaran Asia, diikuti Hong Kong, Shanghai, Sydney, Seoul, Singapura, Taipei, Wellington dan Jakarta.
Pelabur optimis rundingan yang berlangsung itu bakal memberikan lonjakan yang sangat diperlukan dalam pasaran dan meredakan ketegangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu.
Kemajuan dalam ekuiti Asia diikuti oleh prestasi yang positif di Wall Street, di mana S&P 500 semakin menghampiri paras rekod yang dicapai pada awal tahun.
Pertemuan minggu ini di London bertujuan untuk memperbaiki hubungan selepas Trump menuduh Beijing melanggar persetujuan yang dicapai pada pertemuan bulan lepas di Geneva, yang berakhir dengan kedua-dua pihak menurunkan tarif balas masing-masing.
Isu utama dalam agenda rundingan dijangka melibatkan eksport mineral nadir bumi yang digunakan dalam pelbagai barangan termasuk telefon pintar dan bateri kenderaan elektrik.
“Jangkaan kami ialah selepas salam tangan tersebut, sebarang kawalan eksport dari AS akan dilonggarkan, dan nadir bumi akan dilepaskan dalam jumlah yang besar,” kata Penasihat Ekonomi Tertinggi Trump, Kevin Hassett.
Beliau juga menyatakan pentadbiran Trump mungkin sedia melonggarkan beberapa sekatan terkini ke atas eksport teknologi.
Para pelabur juga menantikan data inflasi penting AS minggu ini, yang berpotensi mempengaruhi polisi monetari Rizab Persekutuan di tengah-tengah amaran tarif Trump akan mencetuskan inflasi, sekali gus memperkuat hujah untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa.
Namun, mereka turut menghadapi tekanan daripada Trump untuk menurunkan kadar faedah, dengan pegawai bank dijangka membuat keputusan pada mesyuarat mereka minggu depan.


































