SHANGHAI: Sebuah kompleks bangunan warisan gaya shikumen di tengah-tengah bandar raya Shanghai berjaya dipindahkan secara berperingkat pada kadar 10 meter sehari menggunakan bantuan 432 robot kecil berkuasa hidraulik, menjadikannya projek pemindahan bangunan terbesar dan paling kompleks di China setakat ini.
Menurut Utusan Malaysia, Kompleks Huayanli yang terletak di kawasan Zhangyuan, daerah Jing’an, merupakan binaan bersejarah yang dibina sekitar tahun 1920-an dan 1930-an.
Disebabkan susun atur kawasan yang sempit dan padat, penggunaan peralatan pembinaan serta pemindahan konvensional tidak dapat dilakukan.
Namun, pihak berkuasa perlu mengalihkan keseluruhan blok bangunan itu bagi memberi laluan kepada pembinaan struktur bawah tanah setinggi tiga tingkat.
Projek berteknologi tinggi ini melibatkan pemindahan sementara bangunan seberat 7,382 tan yang meliputi keluasan kira-kira 4,030 meter persegi.
Sebelum kerja-kerja pemindahan dimulakan, jurutera menggunakan teknologi pemodelan maklumat bangunan (BIM) serta pengimbasan awan titik untuk membina pelan 3D terperinci.
Analisis terhadap pelan itu membantu pasukan mengenal pasti titik pertembungan serta sebarang risiko struktur yang kritikal manakala robot khas yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) turut digunakan untuk menggali tanah bawah bangunan dengan ketepatan tinggi.
Robot itu dapat beroperasi dalam ruang sesempit 1.2 meter dan mampu membezakan antara tanah liat dan halangan keras bagi mengelakkan kerosakan pada struktur asas.
Selepas kerja menggali selesai, keseluruhan bangunan diangkat menggunakan kerangka keluli bertetulang sebelum bergerak secara perlahan pada kadar 10 meter sehari oleh robot-robot kecil tersebut.
Meskipun pergerakan perlahan, robot ini yang boleh dikawal dari jauh, mampu memindahkan bangunan berskala besar dengan selamat.
Projek pemindahan ini bermula pada 19 Mei lalu dan bangunan berkenaan dijangka akan dikembalikan semula ke tapak asal selepas kerja pembinaan bawah tanah selesai.
Pihak berkuasa Shanghai merancang untuk membangunkan ruang komersial dan kebudayaan di kawasan itu, selain menyediakan lebih 100 petak tempat letak kereta serta menghubungkan kawasan tersebut dengan laluan metro 2, 12 dan 13.
Walaupun ini bukan kali pertama teknologi robot digunakan untuk memindahkan bangunan, namun skala dan kerumitan projek Zhangyuan menjadikannya pencapaian yang paling mengagumkan setakat ini.


































