IPOH: Perintah reman terhadap pemandu bas persiaran yang terlibat nahas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik semalam akan dijalankan selepas lelaki itu dibenarkan keluar dari hospital.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemandu tersebut kini sedang dirawat di Hospital Taiping ekoran kecederaan yang dialaminya.
“Lelaki itu masih mendapatkan rawatan di hospital. Kita tunggu dia discaj dulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Terdahulu, dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik semalam, Noor Hisam memberitahu, rakaman percakapan pemandu bas berusia 39 tahun itu belum diambil ekoran masih mendapatkan rawatan di hospital.
Menurut beliau, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik semalam, 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih ke kampus UPSI di Tanjung Malim.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza turut cedera dan menerima rawatan di Hospital Baling.


































