Sebuah kereta terbakar ketika penguatkuasa undang-undang bertempur dengan penunjuk perasaan semasa protes berikutan operasi imigresen persekutuan, di kejiranan Compton di Los Angeles, California, kelmarin.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengerahkan 2,000 tentera untuk menangani protes yang semakin memuncak terhadap serbuan penguatkuasaan imigresen di kawasan Los Angeles.
Menurut Utusan Malaysia, ejen persekutuan bertempur dengan orang ramai yang marah di pinggir bandar Los Angeles, ketika protes berlanjutan ke malam kedua pada Sabtu, dengan tembakan bom tangan kilat dan menutup sebahagian lebuh raya di tengah serbuan ke atas pendatang tanpa izin.
Konflik berlaku di Paramount, di mana penunjuk perasaan berkumpul berhampiran Home Depot yang digunakan sebagai pusat operasi oleh pegawai imigresen persekutuan, lapor saluran berita Fox 11.
Mereka berdepan dengan ejen persekutuan yang memakai topeng gas, melemparkan bom tangan dan gas pemedih mata ke arah orang ramai, menurut laporan berita serta hantaran di media sosial.
Sejak memegang jawatan pada Januari, Trump menunaikan janjinya untuk mengambil tindakan tegas terhadap pendatang tanpa izin.
Lewat malam Sabtu, Trump menandatangani memo yang mengerahkan Pengawal Kebangsaan untuk menangani pelanggaran undang-undang yang dibiarkan berleluasa, kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt.
“Pentadbiran Trump mempunyai dasar toleransi sifar terhadap tingkah laku jenayah dan keganasan, terutama apabila ia ditujukan kepada pegawai penguatkuasa undang-undang yang sedang menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan.
Kira-kira satu jam sebelum Rumah Putih mengesahkan penghantaran tentera, Gabenor California, Gavin Newsom, dari Parti Demokrat, menyatakan penentangan terhadap langkah itu.
“Langkah itu sengaja mencetuskan ketegangan dan hanya akan memburukkan keadaan.
“Kami sedang menyelaras dengan pihak bandar serta daerah, dan setakat ini tiada keperluan yang tidak dipenuhi,” katanya di platform media sosial X.
Protes tercetus sehari selepas ejen imigresen bertopeng dan bersenjata menjalankan serbuan berprofil tinggi di tempat kerja di beberapa kawasan berasing di Los Angeles, yang menimbulkan kemarahan orang ramai dan pertembungan selema beberapa jam.
Datuk Bandar LA, Karen Bass, mengakui sebahagian penduduk bandar itu berasa takut selepas tindakan penguatkuasaan imigresen oleh persekutuan.
“Setiap individu berhak berhimpun secara aman, tetapi saya ingin jelaskan, keganasan dan kemusnahan adalah tidak boleh diterima serta mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya di X.


































