SAN FRANSISCO: Persaingan sedang berlaku antara dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China untuk membina humanoid paling canggih.
April lalu, separuh maraton pertama dunia antara manusia dan robot diadakan di Beijing.
Menurut Utusan Malaysia, beberapa humanoid yang menyertai acara tersebut, lengkap berkasut larian, berjaya menamatkan perlumbaan, manakala yang lain bergelut sejak awal.
Di AS, gergasi teknologi Nvidia pula menganjurkan persidangan pembangun kecerdasan buatan (AI) tahunan pada Mac, mempamerkan pelbagai robot termasuk Neo Gamma, humanoid yang direka untuk tugasan rumah seperti menyiram pokok dan menyedut habuk.
Ketika Washington dan Beijing saling giat memacu pembangunan robotik, penganalisis berpendapat sukar untuk menentukan siapa yang mendahului.
Laporan menunjukkan pengeluar humanoid terkemukan hampir semuanya berasal dari kedua-dua negara, seperti Tesla dari AS dan Unitree Robotics dari China.
Menurut laporan yang dikeluarkan bulan lalu oleh Morgan Stanley Research, pasaran global bagi humanoid dijangka melepasi AS$5 trilion (RM21 trilion) menjelang 2050.
Laporan itu menyatakan, lebih satu bilion humanoid mungkin digunakan menjelang tempoh tersebut, dengan China dijangka mencatat jumlah tertinggi sebanyak 302.3 juta unit, diikuti AS dengan 77.7 juta unit.
Humanoid buatan China mula mencuri tumpuan awal tahun ini, apabila kemunculannya di Gala Festival Musim Bunga memukau jutaan penonton, sekali gus menarik perhatian media antarabangsa.
Pengeluar kini memulakan pengeluaran secara besar-besaran, dengan sasaran melebihi 1,000 unit pada tahun ini, melibatkan nilai keluaran domestik kira-kira AS$610 juta (RM2.58 bilion).
Di AS, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk mengumumkan rancangan untuk menghasilkan kira-kira 5,000 unit robot humanoid Optimusnya tahun ini.


































