WASHINGTON: Tindakan Presiden Donald Trump memperketatkan dasar kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti di Amerika Syarikat (AS) secara tidak langsung memberi kelebihan besar kepada institusi pendidikan tinggi di negara lain seperti Australia, United Kingdom (UK), Singapura dan Hong Kong.
Menurut Utusan Malaysia, pakar mendedahkan, universiti pesaing ini banyak meraih manfaat sejak tahun lalu susulan langkah sekatan AS terhadap pelajar luar negara.
Hong Kong yang memiliki lima universiti dalam senarai 100 terbaik dunia oleh Times Higher Education menyatakan hasratnya menarik bakat global selepas Universiti Harvard diarah menghentikan pengambilan pelajar asing.
Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong (HKUST) pada 23 Mei lalu mengumumkan jemputan terbuka kepada pelajar antarabangsa dari Universiti Harvard, termasuk mereka yang sudah menerima tawaran menyambung pengajian di institusi itu.
“Kami akan terus memantau keperluan pelajar yang terkesan akibat perubahan landskap pendidikan global ini dan sedang mempertimbangkan langkah sokongan terbaik dalam usaha menjadikan Hong Kong sebagai hab pendidikan antarabangsa,” kata Biro Pendidikan Hong Kong dalam satu kenyataan.
China melalui Universiti Xi’an Jiaotong, turut menyasarkan pelajar Harvard dengan menawarkan kemasukan mudah dan bantuan penuh sepanjang pengajian.
Di Jepun pula, Universiti Osaka yang merupakan antara tertinggi dalam ranking, menawarkan pengecualian yuran, geran penyelidikan dan bantuan perjalanan kepada pelajar serta penyelidik dari institusi di AS yang ingin berpindah.
Universiti Kyoto dan Universiti Tokyo dilaporkan turut mempertimbangkan tawaran serupa bagi menarik minat pelajar asing.
Penganalisis Pendidikan Global, David Weeks memberitahu CNA, universiti pesaing seperti Cambridge dan Oxford sudah pun mendapat banyak manfaat daripada sekatan AS terhadap pelajar luar sejak tahun lalu.
Weeks menjelaskan, jumlah pelajar dari China yang mendaftar di kumpulan lapan universiti elit AS mencecah puluhan ribu orang dan langkah sekatan ini menyebabkan kerugian besar dari segi kemasukan pelajar.
Namun, katanya, walaupun banyak universiti di luar AS mahu merebut peluang ini, tidak semua mampu menampung jumlah pelajar yang ingin berpindah terutamanya dari Harvard atau institusi terkemuka lain, memandangkan kapasiti dan sumber yang terhad.
“Pelajar antarabangsa yang berjaya ke Harvard adalah antara yang paling cemerlang di dunia. Mereka ini bukan pelajar yang sanggup menerima tawaran daripada universiti yang berada di luar lima terbaik dunia atau sekadar dalam kelompok lapan terbaik di Australia.
“Mungkin juga bukan di luar dua atau tiga terbaik di Ireland atau New Zealand. Mereka mungkin hanya akan pertimbangkan universiti dalam kumpulan Russell di UK,” kata Weeks.
SEKAT PELAJAR ASING
Ramai pelajar asing terutama dari China kini berdepan dilema besar sama ada meneruskan pengajian di tengah ketidaktentuan dasar visa AS atau pulang dan mencari peluang di negara lain yang lebih mesra pelajar antarabangsa.
Angka rasmi menunjukkan hampir 280,000 pelajar China mewakili satu perempat daripada keseluruhan penuntut antarabangsa di AS tahun lalu, menjadikan mereka kumpulan terbesar di negara itu.
Namun, retorik anti-China, sekatan khusus terhadap warganegaranya serta kebimbangan perubahan dasar secara mendadak di bawah pentadbiran Trump menyebabkan ramai pelajar dan ibu bapa mula mempertimbangkan semula rancangan pengajian tinggi di AS.
Keadaan memuncak bulan lalu seelpas Washington menghalang Harvard daripada mendaftarkan pelajar antarabangsa, selain mengenakan langkah saringan ketat terhadap pemohon visa bukan pemastautin dari China yang menyumbang 20 peratus kemasukan pelajar antarabangsa di institusi itu pada 2024.
Beijing mengecam tindakan tersebut dan jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning menegaskan, AS membatalkan visa pelajarnya secara tidak munasabah atas alasan ideologi dan keselamatan negara.
Pada hari sama, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengarahkan supaya tapisan tambahan dilakukan terhadap semua pemohon visa yang bercadang ke Harvard, tanpa mengira tujuan mereka.
Rubio berkata, visa pelajar China yang mempunyai kaitan dengan Parti Komunis China atau terlibat dalam bidang strategik akan mula dibatalkan.
Selain itu, kedutaan dan konsulat AS di seluruh dunia diperintahkan supaya menghentikan penjadualan temu janji baharu untuk permohonan visa pelajar dan program pertukaran.
TINGGAL ATAU PULANG?
Ramai pelajar China mula menyuarakan keresahan di media sosial, menyatakan hasrat untuk mempertimbangkan pilihan di negara lain.
Seorang pelajar antarabangsa dari Hangzhou, Christopher yang kini mengikuti pengajian sarjana dalam bidang sains komputer di Universiti Illinois Urbana-Champaign turut berdepan dilema serupa.
Christopher kini berada di China untuk menjalani latihan industri selama tiga bulan bersama syarikat teknologi Alibaba dan dijadualkan kembali ke AS pada September namun, dia mengakui sangat kecewa dengan perkembangan terkini yang berlaku.
“AS merupakan peneraju dalam bidang ini dan program sains komputer mereka antara yang terbaik tetapi tindakan kerajaannya sangat melampau dan mengecewakan. Mereka mengkhianati harapan ramai orang terhadap negara itu. Dasarnya berubah setiap hari dan sangat tidak menentu.
“Apa yang berlaku ini menjadi peringatan penting yang AS tidak sehebat seperti mereka canangkan. Selepas enam tahun belajar di sini, saya sedar negara ini tidak mengalu-alukan kami,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Bo Lo, menulis di laman Xiaohongshu memberitahu, dia sudah kembali ke China selama dua minggu dan masih ragu-ragu sama ada perlu kembali ke AS atau tidak.
“Patutkah saya kembali? Sehingga kini saya masih belum buat keputusan untuk membeli tiket kapal terbang,” katanya.
Seorang pelajar pascasiswazah dari Beijing yang dikenali sebagai Lainey memberitahu CNA, dia mungkin terpaksa menangguhkan kemasukan ke universiti AS selama setahun jika sistem temu janji visa tidak kembali seperti biasa.
“Kami rasa tidak berdaya. Sejak mula memohon program sarjana, semua dasar ini tidak berpihak kepada kami. Saya mungkin terpaksa mempertimbangkan untuk memohon ke institusi lain di UK, Eropah, Hong Kong atau Singapura,” katanya.
Menerusi Sina Weibo, seorang mahasiswi China berkongsi pengalamannya yang sukar di AS sepanjang minggu lalu, namun tetap yakin mampu menamatkan pengajiannya.
“Kami ada kemahiran dalam bidang bahasa, matematik, kejuruteraan dan sains, jadi ini sebenarnya kerugian besar buat AS. Masih banyak universiti ternama di negara lain yang sedia menyambut bakat kami. Saya kini akan mempertimbangkan untuk menyambung pengajian di UK atau Singapura,” tulisnya.


































