BEIJING: China secara rasmi melancarkan ‘Visa ASEAN’ untuk 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta Timor Leste selaku pemerhati.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha meluas Beijing untuk mempromosikan perjalanan rentas sempadan dan integrasi serantau.
Dalam taklimat akhbar kelmarin, jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Lin Jian, mengumumkan dasar visa baharu itu akan terpakai untuk tujuan perniagaan, termasuk pasangan dan anak mereka.
Beliau berkata, visa tersebut akan membolehkan pelbagai kemasukan selama lima tahun kepada pemohon, dengan tempoh maksimum tinggal sehingga 180 hari.
Lin berkata, program itu dibina berdasarkan perjanjian pengecualian visa dua hala sedia ada dengan negara seperti Singapura, Thailand dan Malaysia serta melengkapkan ‘Visa Lancang-Mekong’ yang dikeluarkan sebelum ini untuk memudahkan perjalanan antara negara di Sungai Mekong.
“Inisiatif itu meningkatkan lagi pergerakan rentas sempadan di rantau ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan, pelancaran visa tersebut sejajar dengan usaha berterusan untuk membina ‘komuniti China-ASEAN’, selain memupuk keamanan serantau, kemakmuran dan mengeratkan hubungan dua hala antara Beijing dengan negara Asia Tenggara.
“Pelbagai langkah yang diambil China bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan merupakan sebahagian daripada tindakan konkrit China untuk mewujudkan ekonomi global yang terbuka,” katanya.
Sebagai bukti keterbukaan yang semakin meluas, Lin menyatakan lebih sembilan juta warga asing memasuki China pada suku pertama tahun ini, menunjukkan peningkatan lebih 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, lebih 18,000 syarikat pelaburan asing ditubuhkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, meningkat 12.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“China akan terus mengoptimumkan dasar kemasukan, memperluaskan liputan pengecualian visa dan menyediakan perkhidmatan lebih mudah.
“Kami berhasrat untuk memajukan kemakmuran bersama melalui keterbukaan yang lebih besar dan kerjasama antarabangsa lebih mendalam,” katanya.

































