ZURICH: Syarikat barang kemas mewah terkenal, Cartier yang dimiliki oleh Richemont mengesahkan laman sesawangnya digodam sehingga menyebabkan sebahagian data pelanggan dicuri, menurut satu emel yang dilihat oleh Reuters semalam.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian terbaharu membabitkan jenayah siber ke atas syarikat-syarikat besar, Cartier menyatakan pihak asing berjaya mendapat akses sementara ke dalam sistem mereka.
Maklumat pelanggan yang terhad seperti nama, alamat emel dan negara asal diperoleh penggodam, namun syarikat tersebut menegaskan tiada kata laluan, maklumat kad kredit atau data perbankan yang terjejas.
Cartier turut memaklumkan isu itu kini berjaya dikawal dan langkah keselamatan sistem serta perlindungan data sudah ditingkatkan.
Syarikat itu juga memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan serta bekerjasama dengan pakar keselamatan siber antarabangsa bagi menyiasat insiden tersebut.
Bagaimanapun, Cartier tidak memberikan sebarang maklum balas apabila diminta mengulas lanjut oleh pihak media.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat pakaian dalam wanita dari Amerika Syarikat (AS), Victoria’s Secret turut mengesahkan berlaku gangguan ke atas sistem teknologi maklumatnya sehingga memaksa laman webnya ditutup sementara selama beberapa hari minggu lalu.
Menurut syarikat itu, insiden tersebut tidak menjejaskan keputusan kewangan suku pertama namun memberi amaran bahawa kos tambahan akibat kejadian itu mungkin memberi kesan kepada prestasi kewangan suku kedua.


































