WASHINGTON: Jutawan terkenal, Elon Musk menafikan laporan beliau menggunakan ketamin dan dadah lain sepanjang tahun lalu, ketika kempen pilihan raya 2024.
Menurut Utusan Malaysia, The New York Times melaporkan minggu lalu bahawa pemilik Tesla dan SpaceX itu menggunakan terlalu banyak ketamin, ubat bius yang kuat, sehingga mengalami masalah pundi kencing.
Akhbar itu juga mendakwa, individu terkaya dunia berkenaan turut mengambil ekstasi dan dadah ‘mushroom’ serta membawa kotak pil ketika melakukan perjalanan tahun lalu.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Musk turut mengambil dadah semasa mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) selepas Trump mengambil alih kuasa.
“Untuk penjelasan, saya tidak mengambil dadah! The New York Times berbohong.
“Saya pernah mencuba ‘preskripsi’ ketamin beberapa tahun tahun lalu dan menyatakannya di X, jadi ini bukan berita. Ia membantu keluar daripada kegelapan mental, dan tidak mengambilnya lagi sejak itu,” kata Musk dalam hantaran di X.
Musk pada mulanya mengelak daripada menjawab soalan mengenai penggunaan dadah dalam penampilan perpisahan bersama Presiden Donald Trump di Pejabat Oval pada Jumaat.
Dalam acara itu, beliau kelihatan dengan mata lebam ketika secara rasmi menamatkan peranan sebagai ketua DOGE.
Berita mengenai kecederaan itu menjadi perhatian susulan ia muncul selepas laporan The New York Times mengenai dakwaan penggunaan dadah oleh Musk.
Akhbar tersebut turut mengimbas kembali tingkah laku aneh beliau, termasuk insiden di mana Musk memberikan tabik ala Nazi secara bersemangat tahun lalu.


































