Azizah dan Redonah bersama jentera G10 Wanita Gagasan Rakyat DUN Bandau.
KOTA MARUDU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Azizah Mohd. Dun menyeru semua ahli-ahli Wanita Gagasan Rakyat seluruh Sabah agar bersama-sama menjaga kedaulatan negeri dan tidak membiarkan mana-mana pihak luar menceroboh.
“Rumah kita, kita jaga. Jangan sampai ada pihak luar yang masuk menceroboh,” tegas beliau.
Beliau juga memuji kestabilan dan kemajuan negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), YAB Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Kita semua mesti memastikan kecemerlangan ini berterusan. Kerajaan GRS sudah membuktikan keupayaan dan kita mesti pertahankannya,” katanya lagi.
Beliau berucap pada majlis pelancaran G10 Dun Bandau di Dewan Komumiti Kota Marudu semalam.
Azizah turut menekankan keperluan memperkukuhkan gerak kerja dan jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang semakin hampir.
“Kita tidak boleh leka. Gerak kerja akar umbi mesti diperkemas, jentera wanita harus siap siaga di setiap kawasan. PRN17 bukan sahaja tentang menang kerusi, tapi mempertahankan maruah dan masa depan rakyat Sabah,” ujarnya lagi.
Beliau menyeru seluruh jentera, khususnya wanita GRS, agar turun padang, mendengar suara rakyat dan menjadi ejen penyatuan di kalangan masyarakat.
Tambahnya, kekuatan sebenar GRS terletak pada keikhlasan perjuangan dan semangat setiakawan di semua peringkat.
Azizah menegaskan bahawa kejayaan dalam perjuangan politik hanya dapat dicapai melalui semangat berpasukan yang kukuh dan kesatuan yang padu dalam kalangan ahli parti.
Menurut beliau, semangat kesetiaan dan hormat antara ahli serta kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan parti dan kemenangan dalam pilihan raya.
“Kita tidak akan mampu menang jika bergerak secara individu. Kita mesti bersatu, setia kepada ketua yang satu, dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Inilah kekuatan sebenar kita,” tegas beliau.
Sementara itu, Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda turut menyeru supaya jentera G10 Wanita terus diperkukuh untuk memastikan kemenangan GRS dalam PRN17.
Beliau mengingatkan agar ahli tidak leka dan tidak terpengaruh oleh anasir luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan.


































