LOS ANGELES: Polis Amerika Syarikat (AS) menasihatkan orang ramai berjaga-jaga selepas 250 juta lebah terlepas di wilayah barat negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, serangga itu terlepas berikutan kemalangan lori membawa kotak sarang lebah di Washington.
“Sekurang-kurangnya 250 juta lebah terlepas dan orang ramai diminta berhati-hati,” kata Pejabat Syerif Daerah Whatcom menerusi laman media sosialnya.
Beberapa laluan di kawasan terbabit, yang terletak berhampiran sempadan Kanada dan hanya 48.2 kilometer (km) dari Vancouver ditutup sementara pakar lebah menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Selain pengeluaran madu, penternak lebah juga menyewakan sarang mereka kepada petani bagi tujuan pendebungaan tanaman, yang memerlukan lebah berkenaan diangkut dari ladang ke ladang.


































