NETHERLANDS: Pengeluar gula-gula Haribo mengeluarkan arahan menarik balik sejumlah gula-gula berperisa kola di Belanda selepas pihak berkuasa melaporkan beberapa individu jatuh sakit setelah memakan gula-gula yang dicemari ganja.
Pencemaran itu dikesan dalam tiga bungkusan gula-gula Happy Cola F!ZZ keluaran Haribo, menurut satu amaran daripada syarikat tersebut yang dikongsi pihak berkuasa keselamatan makanan dan produk pengguna Belanda.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa itu memberi amaran gula-gula tersebut boleh menyebabkan ‘aduan kesihatan seperti pening apabila dimakan’ selain menasihatkan orang ramai supaya jangan makan gulan-gula itu buat sementara waktu.
Pihak berkuasa yang menjalankan siasatan menyatakan beberapa individu, termasuk kanak-kanak, jatuh sakit selepas memakan gula-gula berbentuk botol kola itu.
Gula-gula berkenaan dimakan oleh keluarga dari wilayah Twente di timur Belanda, menurut kenyataan polis Belanda, yang menyatakan kesan gula-gula tersebut amat ketara, terutamanya terhadap kanak-kanak kecil.
Sampel gula-gula tersebut disahkan positif mengandungi ganja, kata jurucakap pihak berkuasa keselamatan makanan, Saïda Ahyad, dalam satu kenyataan.
Polis Belanda enggan mendedahkan berapa ramai yang sudah memakan gula-gula tersebut secara keseluruhan, dengan alasan masih terlalu awal untuk berkongsi maklumat lanjut.
Haribo, yang diasaskan di Jerman pada 1920, terkenal dengan produk gula-gula “gummy” beruangnya. Kini, syarikat itu mengedarkan pelbagai jenis gula-gula “gummy” ke lebih 120 negara.
Menurut laman Haribo Belanda, walaupun hanya tiga bungkusan tercemar yang sudah dikenal pasti setakat ini, syarikat itu menarik balik keseluruhan kelompok gula-gula berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga. Penarikan balik itu melibatkan bungkusan seberat satu kilogram yang dijual di Belanda dan mempunyai tarikh luput pada Januari 2026.


































