Terdapat tiga asteroid besar yang berisiko melanggar bumi dalam masa terdekat.
LONDON: Kumpulan saintis mengenal pasti terdapat tiga asteroid besar yang berisiko melanggar bumi tanpa sebarang amaran dalam tempoh beberapa minggu ini.
Menurut Utusan Malaysia, saintis memberi amaran, kesan pelanggaran tiga asteroid itu mungkin boleh menyebabkan pembentukan kawah sebesar 3.2 kilometer dan membebaskan lebih sejuta kali ganda tenaga berbanding bom atom yang digugurkan di Hiroshima pada 1945.
Namun, ketiga-tiga asteroid yang diberi nama 2020 SB, 524522 dan 2020 CL1 itu berada pada laluan yang sukar dilihat oleh para saintis, menyebabkan jaraknya dengan bumi sukar dijangka.
Hal ini kerana, kedudukan kesemua asteroid berkenaan selari dengan orbit planet Zuhrah selain tersembunyi akibat pancaran cahaya matahari.
Lebih membimbangkan, kedudukan asteroid itu tidak stabil dan boleh berubah mengikut daya graviti, sekali gus berisiko melanggar bumi pada bila-bila masa.
Berdasarkan kajian, ketiga-tiga asteroid itu mempunyai saiz diameter antara 100 hingga 400 meter, sekali gus berisiko menghancurkan sesebuah bandar, mencetuskan kebakaran besar malah tsunami.
Para saintis memaklumkan Pusat Pencerapan Rubin di Chile mungkin mempunyai keupayaan untuk mengesan kedudukan asteroid berkenaan.
Kumpulan pengkaji hanya mempunyai masa antara dua hingga tiga minggu untuk mengesan kedudukan sebenar ketiga-tiga asteroid itu sebelum sebarang risiko pelanggaran bumi berlaku.


































