SEOUL: Korea Utara memperketatkan undang-undang untuk mengawal pengaruh budaya asing dengan meningkatkan tahap hukuman jenayah terhadap penyebaran ‘budaya anti sosialis’, menurut Kementerian Kehakiman Korea Selatan.
Menurut Utusan Malaysia, kementerian yang baru-baru ini menganalisis pindaan Akta Jenayah Korea Utara memaklumkan, negara itu memperluas skop hukuman mati kepada undang-undang jenayah khas berkaitan dadah, ideologi reaksi dan budaya termasuk dari Korea Selatan dikenali sebagai Hallyu atau Gelombang Korea.
Seoul menjelaskan, pindaan terbaharu oleh Korea Utara berpunca daripada kebimbangan terhadap penyusupan budaya Korea Selatan, seperti penggunaan umum istilah ‘oppa’, yang dilihat rejim sebagai ancaman.
Oppa adalah istilah yang digunakan oleh wanita Korea Selatan untuk merujuk bukan sahaja abang, tetapi lelaki lebih tua dalam komuniti mereka atau pasangan romantik seseorang.
Walaupun Korea Utara mengehadkan penggunaan istilah itu kepada maksud asalnya, iaitu abang, Kementerian Kehakiman berkata, semakin ramai rakyat Korea Utara berusia 20-an dan 30-an menggunakan ‘oppa’ mengikut gaya dari Selatan.
Penjelasan tersebut adalah sebahagian daripada ulasan komprehensif kerajaan mengenai semakan Akta Jenayah Korea Utara pada Disember 2023, yang menganalisis kesemua 329 artikel undang-undang.
Selain meningkatkan jumlah kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman mati daripada 11 kepada 16, Pyongyang turut memansuhkan artikel yang sebelum ini merujuk kepada penyatuan semula negara, bagi mencerminkan perubahan hubungan antara Korea sebagai ‘dua negara bermusuhan’.
Kementerian Kehakiman juga memaklumkan, peruntukan baharu diperkenalkan bagi memperkukuh perlindungan terhadap simbol kebangsaan, termasuk mewujudkan kesalahan baharu berkaitan perbuatan merosakkan bendera atau lambang negara.


































