Elon Musk
WASHINGTON: Elon Musk mengumumkan pengundurannya sebagai penasihat utama kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, bilionair itu membuat pengumuman pada Rabu menerusi platform X.
“Seiring dengan berakhirnya tempoh saya sebagai Kakitangan Khas Kerajaan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden atas peluang untuk mengurangkan perbelanjaan tidak berhemah.
“Misi @DOGE akan terus kukuh dari semasa ke semasa apabila ia menjadi budaya dalam pentadbiran kerajaan,” tulis Musk.
Seorang pegawai Rumah Putih mengesahkan Musk akan berundur daripada peranannya.
Pengunduran Musk berlaku sehari selepas beliau mengkritik rang undang-undang utama dalam agenda legislatif Trump yang sering digelar sebagai ‘hebat dan besar’. Musk menyatakan rasa kecewanya terhadap kandungan rang undang-undang tersebut.
Rang undang-undang itu menggabungkan pemotongan cukai dan penguatkuasaan imigresen yang lebih ketat. Dalam temu bual bersama CBS, Musk menyifatkan ia sebagai rang undang-undang perbelanjaan besar-besaran yang meningkatkan defisit persekutuan dan melemahkan usaha jabatan yang dipimpinnya, Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE).
“Saya rasa sesebuah rang undang-undang boleh jadi besar atau hebat. Tapi saya tak pasti ia boleh jadi kedua-duanya,” kata Musk dalam temubual yang disiarkan pada malam Selasa.
Ketika bercakap dari Pejabat Oval pada Rabu, Trump mempertahankan agendanya dengan menyatakan rundingan politik yang rumit diperlukan bagi memuktamadkan rang undang-undang tersebut.
“Saya tidak berpuas hati dengan beberapa aspek, tapi saya tidak sabar dengan beberapa aspek lain,” katanya.
Parti Republikan baru-baru ini meluluskan rang undang-undang tersebut di Dewan Perwakilan dan kini membahaskannya di Senat.
Kebimbangan Musk turut dikongsi beberapa ahli politik Republikan sebelum ini dengan antaranya Senator Wisconsin, Ron Johnson.


































