OTTAWA: Wilayah barat Kanada, Saskatchewan menjadi wilayah kedua mengisytiharkan darurat selepas Manitoba susulan kebakaran hutan yang berlaku.
Menurut Utusan Malaysia, sehari sebelum itu, Manitoba mengarahkan 17,000 penduduknya berpindah selepas api semakin marak dan menghampiri kawasan penempatan.
Ketua Menteri Saskatchewan, Scott Moe berkata, situasi ketika ini amat bahaya dan mengutamakan setiap langkah keselamatan kepada penduduk.
Sebanyak 4,000 penduduk dipindahkan dari wilayah itu pada awal minggu ini dengan lebih banyak dijangka dipindahkan ekoran cuaca semakin kering dengan tiada hujan diramalkan berlaku dalam masa terdekat.
Pada Rabu, Manitoba mengisytiharkan darurat dan mengarahkan pemindahan penududuk selepas kebakaran hutan menjadi semakin tidak terkawal dan disifatkan paling buruk.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Winnipeg, Scott Gillingham memberitahu, banyak keluarga yang tiba di pusat pemindahan tanpa membawa barangan asas mencukupi.
“Mereka tiada bekalan makanan atau pakaian yang mencukupi, mereka hanya sempat menyelamatkan diri.
“Sehubungan itu, kami akan membantu mereka sedaya upaya sehingga situasi reda,” katanya.


































