ANKARA: Penumpang pesawat di Turkiye boleh denda jika menanggalkan tali pinggang keledar, membuka ruang bagasi atas atau berdiri di lorong sebelum pesawat berhenti sepenuhnya, menurut peraturan baharu yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, peraturan yang dikemas kini tersebut bertujuan meningkatkan keselamatan dan memastikan proses keluar pesawat berlaku dengan lebih teratur.
Ia berkuat kuasa awal bulan ini selepas aduan daripada penumpang dan hasil pemeriksaan mendapati peningkatan pelanggaran keselamatan ketika pesawat sedang bergerak ke tempat parkir selepas mendarat, menurut Direktorat Penerbangan Awam Turkiye.
Amalan penumpang berdiri atau bergerak di dalam kabin sejurus selepas mendarat merupakan sesuatu yang biasa di Türkiye dan sering menyebabkan keadaan tidak terkawal semasa proses keluar pesawat.
Berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan, semua syarikat penerbangan komersial yang beroperasi di Turkiye kini dikehendaki mengubah pengumuman standard dalam penerbangan dengan menambah amaran bahawa sebarang pelanggaran akan didokumen dan dilaporkan.
Penumpang juga diingatkan agar memberi laluan kepada mereka yang berada di barisan hadapan untuk keluar terlebih dahulu dan tidak berebut-rebut ke hadapan.
Walaupun pekeliling tersebut tidak menyatakan jumlah denda yang akan dikenakan, media tempatan melaporkan bahawa pesalah boleh dikenakan denda sehingga AS$70 (RM330).
“Walaupun pengumuman telah dibuat untuk memaklumkan penumpang mengenai peraturan tersebut, masih ramai yang berdiri sebelum pesawat sampai ke tempat parkir dan sebelum lampu isyarat tali pinggang dipadamkan.
“Tingkah laku ini menjejaskan keselamatan penumpang dan bagasi, serta mengabaikan keselesaan dan keutamaan keluar penumpang lain,” kata pihak berkuasa penerbangan.


































