JIANGXI: Seorang wanita berusia 44 tahun di China terselamat selepas terjatuh dari tingkat 12 dan masih mampu memanggil suaminya untuk meminta bantuan.
Menurut Utusan Malaysia, keajaiban yang menimpa Peng Huifang, seorang pencuci kilang dari Leping di wilayah Jiangxi, tenggara China mencetus rasa kagum dan tidak percaya dalam kalangan rakyat negara itu.
Pada 13 Mei lalu, Peng menerima panggilan daripada suaminya yang mengusahakan perniagaan tingkap meminta bantuan untuk menutup balkoni rumah seorang pelanggan.
Kerana menyangka dirinya berada dalam kawasan bilik yang selamat dan jauh dari balkoni, Peng tidak memakai tali keselamatan, satu keputusan yang hampir meragut nyawanya.
Pasangan itu menggunakan kren untuk mengangkat sebuah tingkap berat yang dianggarkan seberat beberapa ratus kilogram dari bawah naik ke tingkat 12.
Namun semasa tingkap itu dinaikkan, ia dipercayai tersangkut pada dahan pokok dan tiba-tiba terjatuh, menarik sekali kren dan Peng yang sedang memegang alat kawalan jauh yang disambungkan kepadanya keluar dari bangunan.
“Apa yang terlintas dalam fikiran saya hanyalah, saya akan mati, saya akan tinggalkan dunia ini buat selama-lamanya’,” kata Peng mengenang detik cemas itu.
Namun, Peng terselamat secara ajaib apabila tubuhnya terhempas ke atas bumbung kanopi terlebih dahulu yang membantu menyerap sebahagian besar impak sebelum dia jatuh ke tanah.
Peng tidak merasa kesakitan tetapi tidak dapat bergerak ketika terbaring di tanah, namun dia sempat menjerit kepada suaminya bahawa dia belum mati dan hubungi talian kecemasan segera.
Peng dikejarkan ke Hospital Bersekutu Kedua Universiti Nanchang dan menjalani pembedahan bagi merawat pelbagai kecederaan termasuk patah di kaki kanan, kaki kiri dan bahagian bawah belakang.
Bahagian atas badannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Peng kini sedang menunggu untuk menjalani beberapa lagi pembedahan dan doktor optimis dia mungkin dapat berjalan semula seperti biasa dalam tempoh enam bulan.
Beliau menzahirkan rasa kesal kerana tidak mengikut langkah keselamatan dan berkongsi kisahnya sebagai peringatan agar orang lain tidak mengambil mudah soal keselamatan.


































