LIVERPOOL: Seramai 47 individu dilaporkan cedera selepas sebuah kereta merempuh sekumpulan penyokong bola sepak yang meraikan kejayaan kelab Liverpool di pusat bandar ini, pada Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa kesihatan Britain memberitahu, 27 daripada mangsa dihantar ke hospital, manakala dua orang termasuk seorang kanak-kanak mengalami kecederaan serius.
Ketua Perkhidmatan Ambulans NHS North West, David Kitchin berkata, seramai 20 mangsa turut dirawat di lokasi kejadian akibat kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital.
“Kami sahkan pasukan kami merawat 20 pesakit di lokasi kejadian yang mengalami kecederaan ringan. Mereka tidak perlu dihantar ke hospital.
“Namun, 27 pesakit dibawa ke hospital menggunakan ambulans, dan dua daripadanya – termasuk seorang kanak-kanak – mengalami kecederaan serius,” katanya.
Katanya, empat daripada mangsa yang mengalami kecederaan ialah kanak-kanak.
Sebelum itu, Polis Merseyside memaklumkan, sebuah kereta telah merempuh orang ramai di pusat bandar Liverpool ketika mereka meraikan kejayaan pasukan bola sepak tempatan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Pemandu kenderaan, seorang lelaki berusia 53 tahun warga tempatan, telah ditahan di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.


































