Seekor koala bersama anaknya memanjat pokok di kawasan semak berhampiran pusat bandar Brisbane, Australia.
MELBOURNE: Ratusan ekor koala yang diancam kepupusan dilaporkan ditembak mati dari udara oleh helikopter kerajaan di beberapa kawasan hutan di Australia, mencetuskan kemarahan kumpulan pencinta haiwan yang menyifatkan tindakan itu sebagai satu ‘pembunuhan beramai-ramai’.
Menurut Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya 750 ekor koala, termasuk yang dilindungi, dibunuh oleh penembak tepat dari Jabatan Tenaga, Alam Sekitar dan Tindakan Iklim (DEECA) Australia, sebahagian daripada program eutanisia selepas kebakaran hutan menyebabkan banyak haiwan itu cedera dan kelaparan di Taman Negara Budj Bim.
Meskipun kerajaan mendakwa tindakan itu demi kebajikan haiwan tersebut, kumpulan hak asasi haiwan mendedahkan insiden menyayat hati apabila anak koala (joey) terjatuh dari pokok dan masih berpaut pada bangkai ibu mereka, menurut laporan Sunday Mirror.
“Ini bukan belas kasihan, ini satu pembantaian,” ujar Presiden Pusat Ekonomi Berperikemanusiaan, Wayne Pacelle.
Populasi koala di Australia merosot secara mendadak sejak dua dekad lalu akibat penyakit, kemarau dan kebakaran hutan, dengan Negeri New South Wales mencatatkan penurunan sebanyak 60 peratus sejak tahun 2001.
Koala disenaraikan sebagai spesies terancam di New South Wales, Queensland dan Wilayah Ibu Negara Australia.
Namun begitu, haiwan ini tidak menerima status perlindungan serupa di barat daya Victoria dan Australia Selatan yang mengalami kekurangan habitat pokok eukaliptus yang sesuai.
Susulan kebakaran besar pada 2019–2020, saintis memberi amaran spesies ikonik itu berdepan ancaman kepupusan menjelang tahun 2050 sekiranya tiada tindakan segera diambil.
Kumpulan hak haiwan kini menggesa Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese supaya campur tangan bagi menghentikan layanan kejam terhadap simbol negara tersebut.
Sesetengah pihak mendakwa tujuan sebenar ‘pembunuhan’ itu adalah untuk menghalang koala daripada menceroboh ladang komersial eukaliptus, namun Wayne Pacelle berpandangan kerajaan negeri Victoria telah gagal mengiktiraf nilai sebenar haiwan berkenaan.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Victoria mempertahankan tindakan tersebut dengan menyatakan hasil sampel pada bulan Mac menunjukkan sebanyak 48 peratus daripada 2,219 koala yang diperiksa mengalami kecederaan serius dan melecur akibat kebakaran hutan.


































