Hajiji bergambar kenangan bersama pekerja Sabah di Kibing.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memuji komitmen Kumpulan Kibing dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada 700 lagi anak Sabah melalui pengambilan pekerja terbaharu yang akan bermula Mei ini.
Beliau berkata, pengambilan baharu itu akan menambah kepada seramai 1,625 anak Sabah yang telah pun bekerja dalam pelbagai jawatan pengurusan, kejuruteraan, teknikal dan operasi di Kumpulan Kibing.
“Ini mewakili lebih 83 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Kumpulan Kibing. Satu perkembangan yang amat positif kerana ia bukan sahaja memperkasa komuniti tempatan kita, tetapi turut memupuk semangat kemakmuran bersama. Syabas dan terima kasih,” katanya ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri bersama kakitangan Kibing di kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini, hari ini.

Hajiji bertemu dengan para pekerja Sabah di Kibing.
Terdahulu, Ketua Menteri dimaklumkan bahawa Kumpulan Kibing akan memulakan pengambilan pekerja tersebut dengan kerjasama Sekretariat SMJ dari 13 hingga 23 Mei di pejabat daerah Ranau, Tuaran, Beaufort, Papar, Kota Kinabalu dan Penampang.
“Saya juga ingin menekankan kepentingan untuk mengutamakan pengambilan pekerja dalam kalangan anak-anak Sabah dan menggesa semua pemain industri supaya bukan sahaja menggaji tenaga kerja tempatan, malah turut melabur dalam latihan dan pembangunan mereka.
“Usaha kolektif ini penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan kita memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri,” katanya.
Hajiji berkata, detik penting tercipta apabila Kumpulan Kibing memulakan pembinaan kilang pembuatan kaca solar berteknologi tinggi bernilai RM2.5 bilion di Sabah pada tahun 2022.
“Kehadiran Kumpulan Kibing hari ini bukan sahaja menjadi usaha transformasi buat Sabah, malah membuktikan kejayaan Kerajaan Negeri dalam mengejar projek-projek berimpak tinggi demi kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa Kumpulan Kibing terus mencatat kemajuan apabila pada November tahun lalu, kumpulan itu melabur dalam satu lagi projek untuk membina kilang pembuatan kaca solar baharu bernilai RM7.2 bilion di Kimanis.
“Setakat ini, kesan limpahan positif hasil kehadiran Kumpulan Kibing di Sabah sudah pun dapat dilihat dan sangat memberangsangkan, dengan nilai kontrak lebih RM50 juta telah diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan sejak pembinaan bermula.
“Kita berpegang kepada keyakinan tinggi bahawa Kumpulan Kibing akan terus berkembang dan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang Sabah,” katanya.
Dalam sesi taklimat itu, Hajiji turut dimaklumkan bahawa barisan pertama Kibing kini beroperasi sepenuhnya dan mengeksport 1,500 kontena setiap bulan dengan nilai mencecah USD14 juta.
Barisan kedua Kibing dijangka mencapai kapasiti pengeluaran penuh pada Jun tahun ini, manakala barisan ketiga dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Destinasi eksport Kibing merangkumi Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Utara, Afrika dan Eropah.
“Saya ingin menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memudahkan kemasukan pelaburan ke Sabah. Kita bertekad untuk mewujudkan persekitaran yang mampu menarik lebih ramai pelabur.
“Pelaburan ini bukan sahaja berkaitan penciptaan peluang pekerjaan, tetapi juga pemangkin inovasi dan penambahbaikan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali; Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong.


































