Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Pembangkang dilihat semakin terdesak apabila terus menggunakan strategi lapuk dan penuh penipuan bagi menawan semula kuasa di Sabah, tegas bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah.
Menurut beliau, taktik sama yang digunakan semasa Pilihan Raya Negeri ke-16 kini diulang kembali – kononnya mahu “selamatkan Sabah” – sedangkan hakikatnya mereka hanya gilakan kuasa dan sanggup menjahanamkan negeri demi kepentingan politik.
“Mereka menyerang Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan GRS tanpa henti, meracuni fikiran rakyat dengan fitnah dan persepsi negatif kononnya kerajaan ini gagal. Sebenarnya, merekalah petualang sebenar yang mahu menghancurkan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah menuduh pembangkang sanggup menggunakan fitnah jahat termasuk melalui aplikasi audio, dan lebih keji lagi, memperalatkan mahasiswa serta anak muda sebagai alat politik murahan.
“Sampai ke tahap sanggup tunggang generasi muda demi kerakusan kuasa. Dosa pahala diketepikan. Ini bukan politik matang, ini politik rakus dan kejam,” katanya.
Menurut beliau, semua pencapaian Kerajaan GRS dalam pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur langsung tidak diiktiraf, malah diputar belit dengan fakta palsu untuk mengelirukan rakyat.
“Ini adalah taktik ‘Pembohongan Besar’ ala Hitler yang digunakan dalam Perang Dunia Pertama. Sama seperti itu, pembangkang hari ini cuba bangkitkan emosi rakyat dengan manipulasi fakta dan pembohongan bersiri,” tegasnya.
Jelas Aksyah, GRS merupakan kerajaan paling stabil dan berprestasi tinggi dalam sejarah Sabah moden. Beliau menyifatkan blok politik itu sebagai yang terbaik pernah wujud demi rakyat negeri ini.
“Saya tinggalkan BERSATU dan PN kerana saya tahu hala tuju mereka tidak lagi untuk Sabah. GRS adalah platform sebenar untuk memajukan negeri dan menjaga hak rakyat. Tiada agenda tersembunyi, tiada sandiwara,” katanya.
Tambahnya, segala projek di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya sedang berjalan seperti dirancang, dan hasil negeri telah dibelanjakan secara telus dan berfokus demi kepentingan rakyat.
“Pembangunan kesihatan, pendidikan, ekonomi dan kebajikan semuanya dalam landasan. Jadi jangan percaya apabila pembangkang kata kononnya Sabah sakit tiga serangkai – itu hanya retorik politik kotor,” katanya.
Aksyah turut mengecam keras pemimpin pembangkang yang pernah menyokong kerakyatan untuk pendatang tanpa izin (PATI), sesuatu yang disifatkannya sebagai pengkhianatan kepada Sabah.
“Pelik, masih ada anak negeri dari kalangan KDMR sanggup jadi balaci parti yang khianat ini. Sedarlah! Jangan gadai maruah negeri demi jawatan dan kuasa,” ujarnya lantang.
Beliau turut menyelar UMNO dan BN Sabah yang kini didakwanya meniru taktik jijik Warisan, sekaligus menjadi penyumbang kepada kemusnahan yang sedang dirancang pembangkang.
“UMNO/BN Sabah hari ini ibarat jadi keldai tunggangan Warisan. Mereka tak sedar mereka sedang bantu musuh sebenar negeri ini. Rakyat perlu buka mata sebelum nasi jadi bubur,” tegasnya.
Aksyah memberi amaran, jika rakyat Sabah terpedaya lagi, negeri ini akan berdepan satu lagi era kehancuran politik dan ekonomi yang tidak mudah dipulihkan.
“Ingat pepatah Arab – berkawan dengan pembuat minyak wangi, kita akan wangi. Tapi berkawan dengan tukang besi, kita terbakar. Rakyat Sabah mesti tolak pembohongan dan tipu daya ini habis-habisan!” katanya.






























