Christina Liew
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada mana-mana individu yang tampil memberikan maklumat penting yang boleh membawa kepada penangkapan, pendakwaan dan sabitan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan kejam Gajah Pygmy Borneo di Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Christina Liew merayu kepada saksi atau pemberi maklumat supaya tampil membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“Kami membuat keputusan untuk menawarkan ganjaran RM10,000 dalam mesyuarat kementerian pada Rabu susulan penemuan satu lagi bangkai gajah yang telah dipenggal.
“Ini merupakan kes ketiga yang mengejutkan sejak Januari tahun ini. Kami memerlukan bukti kukuh mengenai perbuatan kejam ini.
“Sehubungan itu, kami memohon kerjasama orang awam untuk membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah dan pihak polis sekiranya ada individu atau pihak yang menyaksikan mana-mana insiden ini agar pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.






























