Masiung mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut, semalam.
SANDAKAN: Semua jawatankuasa perhubungan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah bersiap sedia dengan gerak kerja awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri ke-17 (PRN17).
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah yakin bahawa parti-parti komponen GRS di semua peringkat telah menggerakkan jentera masing-masing.
“Secara holistik, Gagasan Rakyat telah merancang persiapan yang meyakinkan, termasuk penyediaan logistik serta penggunaan platform digital dan media sosial,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di sini, semalam.
Menurut Masiung, tiga sayap utama Gagasan Rakyat, iaitu Wanita, Pemuda, dan Beliawanis, telah membentuk kerjasama yang efektif dengan parti-parti komponen GRS bagi memastikan kelancaran gerak kerja awal.
Mengulas mengenai isu yang dimainkan pihak pembangkang, termasuk video dakwaan rasuah bermotifkan politik yang dimuat naik oleh individu tertentu, Masiung menyifatkannya sebagai perkara biasa menjelang PRN.
“Pemimpin pembangkang yang sebelum ini menerajui kerajaan lebih banyak mencipta pelbagai isu dan tohmahan. Sebaliknya, kami dalam Kerajaan lebih menumpukan usaha terhadap pembangunan rakyat.
“Kini, kami sedang berusaha memperbaiki kelemahan yang gagal mereka laksanakan ketika berkuasa dahulu,” tambahnya.
Katanya, apabila mereka ditolak rakyat dan tidak lagi berkuasa, mereka mencipta pelbagai cerita yang kurang tepat terhadap Kerajaan dengan harapan rakyat akan percaya.


































