PETALING JAYA: Tiga pegawai mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), minggu lalu dibebaskan dengan jaminan petang ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketiga-tiga individu itu dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat hari ini.
“Seorang daripada mereka sudah dibebaskan Ahad lalu manakala hari ini, baki tiga orang itu akan dilepaskan pada petang ini.
“Siasatan kes masih diteruskan selain memanggil saksi-saksi lain untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azam berkata, pihaknya setakat ini tidak boleh memberi sebarang perincian tentang siasatan yang sedang dijalankan.
“Kita akan mengumumkan hasil selepas siasatan mengenai kes itu lengkap dan selesai,” katanya.
Kelmarin, dua bergelar Datuk adalah di antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri untuk membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah serta pengubahan wang haram.
Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas terbabit turut ditahan oleh agensi antirasuah itu.
Penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Beberapa kes sedang disiasat oleh SPRM ketika ini dan antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Tiga daripada mereka direman sehingga esok manakala seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang Datuk dibebaskan semalam.
Pada Januari 2024, media melaporkan bahawa SPRM menjalankan siasatan berhubung isu penggunaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
SPRM ketika itu juga sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi meneliti bagaimana kelulusan serta perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti dibuat.


































