Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kenyataan Bung Moktar Radin yang mempertikaikan seruan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor agar rakyat terus memberi peluang kepada Kerajaan Negeri adalah tidak berasas dan hanya bertujuan mengelirukan rakyat, tegas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, fakta jelas menunjukkan bahawa di bawah kepimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri dan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang membanggakan.
Katanya, antara pencapaian utama ialah pada tahun lepas, Sabah telah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion, termasuk projek-projek besar yang bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Selain itu, hasil negeri juga meningkat dengan ketara, mencecah RM6.9 bilion pada tahun 2023, membuktikan kecekapan kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi dengan baik.
“Sektor tenaga dan infrastruktur turut diberi perhatian serius, dengan pelaksanaan projek solar hibrid berkapasiti 199MW, pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik di Ulu Padas, serta projek BESS (Battery Energy Storage System) berkapasiti 100MW di Lahad Datu. Semua ini bertujuan memastikan rakyat Sabah menerima bekalan elektrik yang lebih stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ADUN Apas itu berkata, usaha berterusan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak sekadar menabur janji, tetapi benar-benar membawa perubahan ketara kepada Sabah.
“Ketua Menteri tidak “merayu simpati” seperti yang didakwa, sebaliknya beliau bersikap telus dan realistik dalam memastikan kesinambungan pembangunan Sabah.
“Pembangunan dan kemajuan negeri bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam satu penggal; ia memerlukan kesinambungan dan kestabilan politik untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
“Inilah yang beliau tekankan—bahawa mandat rakyat adalah kunci untuk memastikan segala perancangan yang telah bermula dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” kata Nizam.
Hakikatnya, di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah telah menunjukkan kemajuan yang ketara, dan usaha ini perlu diteruskan tanpa gangguan politik yang hanya akan merugikan rakyat.
“Apa yang diperlukan Sabah sekarang bukan polemik tidak berasas, tetapi kestabilan dan kesinambungan kepimpinan yang telah terbukti berjaya,” ujarnya.


































