TAIPEI: Sebuah pesawat latihan jet canggih baharu Tentera Udara Taiwan yang dibangunkan dalam negara terhempas selepas mengalami kegagalan enjin.
Menurut Utusan Malaysia, pesawat AT-5 Brave Eagle, yang dibangunkan oleh syarikat milik kerajaan, Aerospace Industrial Development Corp, dengan peruntukan sebanyak T$68.6 bilion (RM9.27 bilion), menjalani penerbangan ujian pertamanya pada 2020.
Tentera Udara Taiwan berkata, pesawat itu berlepas dari pangkalan udara Chihhang di Taitung semalam, sebelum melaporkan kegagalan kedua-dua enjinnya.
Anak kapal dilaporkan berjaya keluar dan menyelamatkan diri menggunakan payung terjun.
Menurut kenyataan tentera udara, pasukan siasatan kini ditubuhkan untuk menyiasat kejadian.
Ia merupakan kemalangan pertama sejak AT-5 mula diserahkan kepada tentera udara pada 2021.
Tentera udara Taiwan merancang untuk menerima 66 unit menjelang 2026 bagi menggantikan pesawat latihan lama AT-3 serta pesawat buatan AS, F-5, yang mengalami beberapa siri nahas dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Angkatan bersenjata Taiwan kebanyakannya dilengkapi dengan peralatan dari AS, namun kerajaan menjadikan pembangunan industri pertahanan tempatan sebagai keutamaan, terutama ketika China meningkatkan operasi ketenteraan dan latihan berhampiran pulau itu.
AT-5 ialah jet buatan domestik pertama Taiwan sejak F-CK-1 Ching-kuo Indigenous Defence Fighter atau IDF, diperkenalkan lebih tiga dekad lalu.
Kedua-dua jet itu mempunyai reka bentuk dan keupayaan yang sama.
AT-5 digunakan untuk latihan pertempuran udara ke udara dan udara ke darat serta boleh berlepas serta mendarat dengan landasan yang lebih pendek.
Ia boleh dilengkapi dengan senjata, walaupun masih dalam fasa ujian dan direka untuk berfungsi sebagai sokongan dalam situasi perang.


































