Orang ramai menyalakan lilin berhampiran pusat pendidikan dewasa Sekolah Kampus Risbergska di Orebro, sehari selepas kejadian tembakan yang meragut 10 nyawa, pada 5 Februari lepas.
STOCKHOLM: Kerajaan Sweden mengumumkan rancangan untuk mengetatkan undang-undang senjata api, susulan kejadian tembakan beramai-ramai yang berlaku di sebuah pusat pendidikan negara, baru-baru ini.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, 10 disahkan maut dalam serangan di sekolah Kampus Risbergska di Orebro, sebelum pelaku, Rickard Andersson menembak dirinya sendiri.
Menurut Utusan Malaysia, penyerang dilapor menggunakan beberapa senjata api berlesen miliknya sendiri.
Menurut polis, serangan itu mengorbankan tujuh wanita dan empat lelaki berusia antara 28 hingga 68 tahun, termasuk suspek.
Susulan insiden itu, kerajaan Sweden bersetuju dengan sekutu sayap kanan di Parlimen untuk mengetatkan proses tapisan pemohon lesen senjata api, termasuk kawalan ke atas beberapa senjata separa automatik.
AR-15, senapang serangan berdasarkan reka bentuk tentera yang digunakan dalam banyak tembakan besar-besaran di Amerika Syarikat (AS), adalah antara senjata yang akan diharamkan, katanya.
“Berikutan kejadian tembakan dahsyat di Orebro minggu ini, kami percaya langkah terbaik adalah untuk mengetatkan peraturan dan mengharamkan senjata seperti itu.
“Kami tahu jenis senjata itu, dengan beberapa pengubahsuaian, boleh menjadi sangat berbahaya dan telah digunakan dalam serangan seumpamanya di negara lain,” kata Menteri Kehakiman Sweden, Gunnar Strommer.
Senapang AR-15 dibenarkan untuk aktiviti memburu sejak 2023, dan menurut Strommer, kira-kira 3,500 lesen dikeluarkan sepanjang tempoh itu.
Parti pembangkang utama Sweden, Demokrat Sosial, menyambut baik langkah tersebut, tetapi menggesa tapisan dan kawalan lebih ketat terhadap pemilikan senjata api.
Setakat ini, polis masih belum mengesahkan jenis senjata api yang digunakan suspek Orebro dalam serangan itu, sebaliknya hanya menyatakan tiga senapang ditemukan berhampiran mayatnya.


































