WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif baharu sebanyak 25 peratus ke atas import Kanada dan Mexico serta 10 peratus ke atas barangan dari China bermula Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, Trump menandatangani tiga perintah eksekutif berasingan mengenai tarif selepas bermain golf di Florida, berikrar untuk mengekalkannya sehingga ‘darurat negara’ berhubung dadah fentanyl dan pendatang haram ke AS berakhir.
Eksport Kanada dan Mexico ke AS akan menghadapi tarif 25 peratus mulai Selasa, walaupun sumber tenaga dari Kanada akan mempunyai levi 10 peratus lebih rendah.
Barangan dari China, yang sudah menghadapi pelbagai kadar duti, akan menyaksikan tarif tambahan 10 peratus.
Berikutan kebimbangan yang dibangkitkan oleh penapis minyak dan negeri Midwestern, beliau hanya mengenakan duti 10 peratus ke atas produk tenaga dari Kanada, dengan import tenaga Mexico menghadapi tarif penuh 25 peratus.
Trump menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa untuk mengenakan tarif tersebut, dengan Rumah Putih berkata, ancaman luar biasa yang ditimbulkan oleh pendatang haram dan dadah, termasuk fentanyl yang boleh membawa maut.
Menurut lembaran fakta yang dikeluarkan Rumah Putih, tarif tersebut akan kekal sehingga krisis dikurangkan, tetapi tidak memberikan butiran mengenai perkara yang perlu dilakukan oleh ketiga-tiga negara untuk mendapat penangguhan.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum yang berang dengan tindakan Trump mengumumkan akan mengenakan tarif balas dan merancang melaksanakan beberapa langkah untuk mempertahankan kepentingan negaranya.
Reaksi serupa turut diutarakan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang memaklumkan akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas AS$106.5 billion (RM474.4 billion) barangan AS sebagai tindak balas.
Kementerian Luar China turut menentang tarif baharu yang dikenakan ke atas Beijing dan berikrar untuk mengambil tindak balas sepadan yang lebih tegas bagi melindungi hak dan kepentingan mereka.
Kementerian itu berkata, Beijing akan memfailkan tuntutan mahkamah di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), mendakwa penguatkuasaan tarif unilateral oleh AS secara serius melanggar peraturan badan tersebut.
































