Keadaan belakang Proton Saga yang remuk selepas dirempuh sebuah kenderaan lain ketika sedang berhenti di tepi Jalan Tangga Batu, Tangga Batu, Melaka.
MELAKA: Seorang wanita warga emas yang sedang keluar dari kenderaan maut selepas kereta dinaikinya dirempuh sebuah kereta lain dalam kejadian di Jalan Tangga Batu, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa, Zainah Abdul Latif, 64, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan Zon Merah Hospital Melaka akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Saga dipandu suaminya berusia 68 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Balai Bomba Tangga Batu ke Tangga Batu.
“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 69 tahun turut bergerak dari arah sama. Setibanya di lokasi, Proton Persona dipercayai cuba mengelak kenderaan dari arah bertentangan yang memasuki laluannya lalu melanggar belakang sebelah kanan Proton Saga yang berhenti di bahu jalan.
“Proton Saga kemudian bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah lagi kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah gerai. Rempuhan itu menyebabkan seorang wanita warga emas yang hendak keluar dari Proton Saga mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Melaka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Christopher, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 8.15 malam ketika menerima rawatan.
“Pemandu Proton Persona dan suami mangsa tidak cedera manakala peniaga gerai lelaki berusia 67 tahun luka di kepala dan kini menerima rawatan di zon kuning.
“Kenderaan terlibat nahas telah ditahan dan akan dihantar menjalani pemeriksaan teknikal di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
































