Pemandangan yang dirakam oleh Unit Dron Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak menyaksikan kawasan penempatan di sekitar Gem Park, Sekolah Kebangsaan Assyakirin dan kenderaan di Bintulu ditenggelami banjir yang naik mendadak. – Unit Dron APM Sarawak
PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di Sarawak dan Sabah mula mencatatkan penurunan melibatkan beberapa daerah sejak hujan lebat 28 Januari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Kawalan Bencana Negara dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu membabitkan 12,308 mangsa di Sarawak dengan 63 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif melibatkan 3,6677 keluarga di 18 daerah.
Di Sabah pula membabitkan 785 mangsa dengan lima PPS masih aktif di tiga daerah.
Trend penurunan mangsa banjir melibatkan daerah Bintulu, Selangau, Tatau, Siburan dan Mukah manakala daerah yang tidak mencatatkan perubahan adalah Asajaya, Samarahan, Simunjan, Kanowit dan Sibu.
Daerah membabitkan peningkatan mangsa adalah Serian, Subis, Miri, Sebuyau, Sebauh, Gedung dan Beluru.
Mangsa banjir membabitkan daerah baharu di Sabah adalah Tongod iaitu 155 mangsa dengan 41 keluarga manakala tiada perubahan direkodkan melibatkan daerah Lahad Datu dan Beaufort.
Situasi tanah runtuh pula mencatatkan tiada perubahan membabitkan daerah Miri dan Tatau dengan jumlah mangsa seramai 170 orang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan hujan berterusan selama dua hari membabitkan beberapa daerah Sarawak bermula Selasa ini.
“Hujan berterusan dijangka berlaku di Sarawak melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Sarikei) dan Mukah dalam tempoh 4 Februari sehingga 5 Februari ini,” katanya.
































